Lelaki OKU dipukul sekumpulan individu didakwa ganggu wanita

KAJANG – Seorang lelaki kurang upaya cedera selepas dipukul sekumpulan individu gara-gara didakwa mengganggu seorang wanita di surau dan kedai makan di Kompleks Hentian Kajang, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 10 September lalu sebelum tular rakaman video berdurasi 51 saat yang memaparkan mangsa dipukul di kawasan awam.
"Mangsa lelaki tempatan berusia 31 tahun mengalami kecederaan di muka dan mulut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
"Mangsa turut ditahan di Wad Psikiatri selama 20 hari kerana merupakan pesakit bipolar disorder," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati insiden dipercayai berlaku selepas mangsa dikatakan mengganggu seorang wanita di surau serta sebuah kedai makan berhampiran.
"Susulan maklumat diterima, polis menahan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 37 tahun di sekitar Hentian Kajang pada 2 Oktober lalu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 atau balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki kurang upaya cedera selepas dipukul sekumpulan individu kerana didakwa mengganggu seorang wanita
- Kejadian berlaku pada 10 September di Kompleks Hentian Kajang dan video insiden tular
- Mangsa berusia 31 tahun menerima kecederaan di muka dan mulut, mendapat rawatan di Hospital Kajang
- Mangsa merupakan pesakit bipolar disorder, ditahan di Wad Psikiatri selama 20 hari
- Polis menahan empat lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

