Seorang wanita maut, lima cedera nahas dua kenderaan

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut, lima cedera manakala empat lagi terselamat dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 36.5, Jalan Kluang, Ayer Hitam di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, nahas dipercayai berlaku pada jam 8.15 malam melibatkan sebuah kereta dengan kenderaan pelbagai guna (MPV).
Menurutnya, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menghala ke Kluang.
"Ketika sampai ke lokasi, sebuah MPV dari arah bahu jalan telah memasuki jalan yang sedang dilalui kereta terbabit sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran.
"Susulan itu, seorang wanita tempatan berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan organ dalam telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, tiga penumpang lain dalam kereta terbabit iaitu wanita berusia 21 tahun cedera di dada serta lutut kiri manakala seorang wanita 51 tahun cedera di leher dan seorang lelaki 59 tahun pula cedera di bahagian tangan.
Bagi MPV yang dianiki enam penumpang pula beliau berkata, empat daripadanya selamat iaitu seorang remaja lelaki 17 tahun, seorang budak perempuan 12 tahun serta seorang lelaki dan wanita berusia 47 tahun.
"Dua yang lain melibatkan seorang warga emas wanita berusia 73 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan seorang budak perempuan 13 tahun cedera di muka.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakuan Jalan (APJ) 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut dan tujuh cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Kluang, Ayer Hitam
- Nahas berlaku pada malam Sabtu melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV)
- Kereta dalam perjalanan dari Ayer Hitam ke Kluang sebelum bertembung dengan MPV
- Wanita berusia 54 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, cedera parah di bahagian dada dan organ dalam
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakuan Jalan 1987, menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
