Barang kemas, wang tunai lesap gara-gara wanita berniqap tanya daun limau purut

KUALA SELANGOR - Helah seorang wanita berniqab yang berpura-pura mahu bertanyakan mengenai daun limau purut mengakibatkan seorang warga emas kerugian apabila wang tunai dan barang kemas miliknya lesap dalam kejadian di Sungai Tunggul Baru, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 81 tahun dikatakan berada di halaman rumahnya sebelum didatangi wanita tidak dikenali terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati suspek bersembang dengan mangsa sambil bertanyakan sama ada mempunyai daun limau purut.
"Namun, mangsa yang menjawab tiada daun itu kemudian terdengar bunyi seperti seseorang sedang menggeledah di dalam rumah.
“Apabila diperiksa, biliknya didapati berselerak dan beg tangan berisi wang tunai RM8,634 dan beberapa dokumen penting hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau memberitahu, gelang emas yang disimpan dalam beg kecil di atas katil turut lesap.
Jelas beliau, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang suspek.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," jelas beliau.
Azaharudin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

