ABIM hantar memorandum kepada Kedutaan AS, bantah perlindungan terhadap rejim Israel

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama masyarakat sivil menghantar memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ia sebagai bentuk bantahan keras kepada AS untuk menghentikan perlindungan tidak bersyaratnya terhadap Israel susulan rejim Zionis itu bertindak menyerang dan menahan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk kapal yang membawa aktivis kemanusiaan dari Malaysia.
Menerusi memorandum berkenaan, ABIM menuntut supaya pembebasan segera dan tidak bersyarat diberikan kepada semua aktivis serta anak kapal di samping jaminan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sekatan.
Selain itu, katanya, tindakan keras antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya memanfaatkan Resolusi 377 (Uniting for Peace) bagi menamatkan impuniti Israel.
Tambahnya, AS dan sekutu barat juga digesa berhenti melindungi Israel melalui kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB yang selama ini menjadi benteng jenayah perang rejim Israel.
"ABIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas dan pengecut rejim Israel yang menyerang serta menahan bot dalam konvoi GSF.
"Kesemua aktivis adalah tahanan hati nurani (prisoners of conscience) yang tidak bersalah. Mereka hanya menjalankan misi kemanusiaan yang sah, bermoral dan ia wajib dihormati masyarakat antarabangsa.
"Kami juga menjangkakan Israeli Occupied Forces (IOF) akan menahan lebih ramai aktivis dan anak kapal lain daripada konvoi flotilla. Ini satu tindakan yang jelas bertujuan menakut-nakutkan masyarakat sivil dunia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Fahmi berpandangan, serangan ke atas flotilla yang sedang membawa bantuan perubatan, makanan dan bekalan asas ke Gaza satu pencabulan nyata terhadap undang-undang maritim serta kemanusiaan antarabangsa termasuk melanggar prinsip hak asasi manusia.
Jelasnya, tindakan sedemikian lanjutan daripada dasar penjajahan, penindasan dan genosid yang dilaksanakan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
"ABIM turut menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) agar segera mengambil pendirian bersama untuk menekan Israel.
"Ini termasuk langkah boikot diplomatik, ekonomi dan sokongan kolektif terhadap hak Palestin.
"Konvoi GSF ialah suara nurani sejagat yang membawa mesej jelas bahawa dunia tidak akan tunduk kepada ugutan rejim Zionis. Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin serta perjuangan kemanusiaan sejagat," ujarnya.
Ringkasan AI
- ABIM dan masyarakat sivil menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur kerana perlindungan AS terhadap Israel
- Memorandum menuntut pembebasan segera aktivis dan anak kapal serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sekatan
- Meminta tindakan keras antarabangsa melalui PBB untuk mengakhiri perlindungan tidak bersyarat terhadap Israel
- ABIM mengecam tindakan Israel yang menyerang dan menahan bot dalam konvoi GSF yang membawa bantuan kemanusiaan
- Serangan tersebut dianggap sebagai pencabulan terhadap undang-undang maritim dan kemanusiaan antarabangsa, serta pelanggaran hak asasi manusia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

