PM minta Washington campur tangan bebaskan sukarelawan GSF daripada tahanan Israel

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio bagi menuntut campur tangan segera negara itu bagi membebaskan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel.
Beliau menyifatkan tindakan rejim Zionis menahan aktivis antarabangsa dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza sebagai bukti keruntuhan nilai kemanusiaan serta menegaskan bahawa kezaliman yang dilakukan Israel mesti dihentikan serta-merta.
"Setakat petang ini, saya telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Türkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi memohon dukungan mereka dalam usaha mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.
"Saya dan pasukan juga turut berhubung rapat dengan beberapa rakan lain termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi menuntut campur tangan serta tindakan segera tanpa sebarang kelewatan,” kata beliau menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook pada Khamis.
Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan bahawa setakat 3.30 petang ini, seramai 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia disahkan telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat negara ini diinjak.
"Apa yang didakwa (Israel) 'kesalahan' mereka (misi GSF) adalah kerana nilai keprihatinan dan atas prinsip kemanusiaan membantu yang lemah, yang kelaparan, yang sakit termasuk dalam kalangan wanita dan anak-anak.
"Kalau itu tidak dapat dilakukan, (maka) nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. Jadi sekali lagi saya berdoa kepada ALLAH SWT meminta (agar) kezaliman oleh rejim Israel ini dihentikan dan rakyat negara kita dibebaskan dan saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan," katanya.
GSF, yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa seperti aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio untuk campur tangan bebaskan aktivis misi Global Sumud Flotilla termasuk rakyat Malaysia yang ditahan Israel
- Tindakan Israel menahan aktivis dan menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai bukti keruntuhan nilai kemanusiaan
- Anwar Ibrahim telah berbincang dengan Presiden Türkiye, Presiden Mesir, dan Perdana Menteri Qatar untuk sokongan bebaskan sukarelawan dan aktivis Malaysia
- Setakat 3.30 petang, 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel
- GSF, dengan lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar ke Gaza untuk pecahkan sekatan Israel dan hantar bantuan kemanusiaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
