Kapal Mikeno berada di perairan Gaza, nasib peserta masih belum pasti - Nadir Al-Nuri

SHAH ALAM – Kapal layar Mikeno yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) membawa sukarelawan Malaysia, Nurul Hidayah Mohd Amin atau dikenali Ardell Aryana masih menjadi tanda tanya apabila sistem penjejak dan AIS menunjukkan ia berada di kawasan perairan Gaza, namun pergerakannya tidak menepati laluan biasa kapal layar.
Selain Ardell, kapal Mikeno membawa peserta dari Brazil, Turkiye, Netherland, Norway, Amerika Syarikat (AS), dan Sepanyol.
Aktivis Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, pihak pusat kawalan GSF belum dapat mengesahkan situasi sebenar bot tersebut.

"Menurut 'tracker' dan sistem AIS, ia kelihatan berada dalam kawasan perairan Gaza, tetapi ‘route’ tidak menepati pergerakan biasa kapal layar.
"Bot berada di lokasi tetapi tak dapat dipastikan sama ada peserta masih berada di dalamnya," katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, seramai 201 daripada 497 peserta GSF termasuk 12 rakyat Malaysia merupakan antara delegasi dipercayai ditahan di atas kapal flotilla oleh tentera Israel setakat ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat jam 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotilla telah dipintas rejim Zionis termasuk kapal Sirius, Alma, Huga, Grande Blu dan Hio, yang membawa delegasi Malaysia terdiri dari tujuh lelaki serta lima perempuan.
Tambah Muhammad Nadir Al-Nuri, penduduk Gaza juga tidak dapat melihat kapal berkenaan dari pantai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak perlu timbul kebimbangan kerana semua peserta diyakini selamat.
"Sekiranya benar bot itu berjaya mendarat di pantai Gaza, Ardell layak diangkat sebagai simbol keberanian generasi baharu. Kalau bot ini betul dapat cecah pantai Gaza, saya isytiharkan Ardell sebagai wali Gaza baharu dekad ini!" katanya.
Ringkasan AI
- Kapal layar Mikeno yang membawa sukarelawan Malaysia, Ardell Aryana, dikatakan berada di kawasan perairan Gaza namun pergerakannya tidak menepati laluan biasa kapal layar
- Selain peserta dari Malaysia, Mikeno turut membawa peserta dari Brazil, Turkiye, Netherland, Norway, Amerika Syarikat, dan Sepanyol
- Pusat kawalan Global Sumud Flotilla belum dapat mengesahkan situasi sebenar kapal tersebut
- Seramai 201 daripada 497 peserta Global Sumud Flotilla termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan oleh tentera Israel
- Muhammad Nadir Al-Nuri menyatakan semua peserta diyakini selamat dan Ardell Aryana layak diangkat sebagai simbol keberanian sekiranya berjaya mendarat di pantai Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

