'Israel biadab tahan kapal misi kemanusiaan GSF' - Bersatu

KUALA LUMPUR – Tindakan Israel menahan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang dalam pelayaran ke Gaza disifatkan sebagai biadab, tidak berperikemanusiaan dan perlu dikecam sekeras-kerasnya.
Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, tindakan itu jelas menafikan hak serta aspirasi rakyat Palestin yang sekian lama berdepan kebuluran, krisis kesihatan, penderitaan dan genosid.
Beliau menegaskan, Israel turut melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan serta hak asasi manusia yang menjamin kebebasan pelayaran dan melarang sekatan terhadap bantuan.
“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini juga sudah memberi amaran dan mewajibkan Israel memberikan akses tanpa sebarang halangan kepada misi kemanusiaan ke Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, misi kemanusiaan yang aman, sah dan bermoral itu telah dipintas bagi menghalang sebarang bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dengan menggunakan saluran diplomatik untuk menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua sukarelawan serta aktivis Malaysia yang kini berada dalam tahanan tentera Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

