Buluh mampu jadi industri baharu berpotensi tinggi di Malaysia

Foong Hin (tengah) melawat reruai pameran sempena program WBD Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh TTITC, Hulu Terengganu pada Khamis.
Foong Hin (tengah) melawat reruai pameran sempena program WBD Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh TTITC, Hulu Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KERAJAAN menggalakkan perladangan buluh sebagai industri baharu berpotensi tinggi yang mampu menjadi pemacu ekonomi negara pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, nilai eksport buluh dunia semakin berkembang apabila diunjurkan meningkat daripada AS$70.78 bilion (RM299.43 bilion) pada 2024 kepada AS$74.26 bilion (RM314.16 bilion) tahun ini.

Katanya, peluang tersebut wajar dimanfaatkan Malaysia kerana buluh mempunyai kelebihan tersendiri dengan lebih 70 spesies termasuk 45 spesies tempatan.

"Buluh Malaysia istimewa kerana pertumbuhan pantas, kekuatan mekanikal dan daya tahannya.

"Ia berpotensi besar menyokong industri perkayuan selain mampu menjana hasil baharu melalui pelbagai sektor termasuk papan, perabot, pembinaan, tekstil, makanan, arang dan kraftangan," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian World Bamboo Day (WBD) Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu pada Khamis.

Menurut beliau, industri perkayuan menyumbang RM22.92 bilion kepada sektor agrikomoditi negara pada tahun lalu dengan eksport produk buluh bernilai RM18.91 juta.

Katanya, walaupun sedikit menurun berbanding 2023, permintaan global terhadap produk berasaskan buluh menunjukkan prospek positif.

Foong Hin melihat produk yang dipamerkan sempena WBD Malaysia 2025.
Foong Hin melihat produk yang dipamerkan sempena WBD Malaysia 2025.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) terus memperkukuh usaha pembangunan industri buluh menerusi penyelidikan, latihan, inovasi teknologi, penghasilan produk bernilai tambah dan penglibatan komuniti luar bandar.

"Selain pembangunan berskala besar, kerajaan turut melaksanakan Projek Pembangunan Community Farming Buluh (PPCFB) yang melibatkan 135.4 hektar ladang buluh dengan insentif anak pokok, baja dan latihan kepada peserta.

"Usaha ini penting untuk memastikan manfaat industri buluh turut dinikmati masyarakat akar," katanya.

Sementara itu, MTIB bersama TTITC membangunkan Model Ladang Buluh seluas 15 hektar di daerah ini sebagai pusat penyelidikan, latihan, plot kajian dan eko-pelancongan dengan penanaman spesies komersial utama seperti Betung, Madu dan Semantan.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang Sambutan WBD Malaysia 2025 bermula 30 September hingga 2 Oktober termasuk kursus asas tanaman buluh secara ladang, pertukaran MoU, pameran serta jualan produk berasaskan buluh.

 

Ringkasan AI

  • KERAJAAN menggalakkan perladangan buluh sebagai industri baharu berpotensi tinggi
  • Nilai eksport buluh dunia diunjurkan meningkat dari AS$70.78 bilion pada 2024 kepada AS$74.26 bilion pada tahun ini
  • Malaysia mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 spesies tempatan yang memiliki keistimewaan seperti pertumbuhan pantas dan kekuatan mekanikal
  • Industri perkayuan menyumbang RM22.92 bilion kepada sektor agrikomoditi negara pada tahun lalu dengan eksport produk buluh bernilai RM18.91 juta
  • Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui MTIB memperkukuh pembangunan industri buluh melalui penyelidikan, latihan, inovasi teknologi dan penglibatan komuniti luar bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!