Warganegara, tapi tak fasih cakap Melayu

PERKARA 152 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara.
Ia bukan sekadar medium komunikasi, tetapi lambang identiti negara yang sewajarnya dimartabatkan bukan saja oleh orang Melayu, tetapi juga Cina dan India.
Namun sangatlah mengecewakan apabila masih ada pemegang MyKad biru yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik, tetapi mengakui lahir dan dibesarkan di Malaysia.
Lebih mengecewakan mereka sebahagiannya adalah barisan pemimpin negara kita.
Ia dapat dilihat di Sidang Dewan Rakyat apabila sesetengah Ahli Parlimen yang tergagap-gagap bercakap dalam bahasa Melayu.
Kenapa sudah berpuluh tahun katanya menetap di sini, tetapi bahasa kebangsaan sendiri pun tak reti. Di manakah jati diri sebagai rakyat negara ini?
Jika bahasa Melayu tidak diisytiharkan sebagai bahasa rasmi negara sekali pun, bahasa itu berperanan sebagai penyatuan dalam masyarakat majmuk negara ini.
Dengan bahasa inilah membolehkan Melayu, Cina dan India hidup bersama tanpa rasa kekok untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Pada masa sama, masyarakat berbilang kaum tiada halangan untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Namun, kebebasan ini tidaklah boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab untuk menguasai bahasa kebangsaan.
Tidak sewajarnya individu yang sudah puluhan tahun bergelar warganegara, tetapi masih “bertatih” bercakap bahasa Melayu berbanding warga Pakistan, Bangladesh yang baru tiga tahun datang bekerja di sini, tetapi lebih Malaysia daripada orang kita.
Lebih membimbangkan apabila generasi muda yang lahir di negara ini pun semakin menjauh daripada bahasa kebangsaan kerana merasakan ia bukan satu kewajipan
Mereka rasa lebih penting untuk tahu bercakap dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu, malah lebih selesa menjadikan bahasa antarabangsa itu sebagai bahasa pengantara.
Tidak salahnya belajar bahasa asing, tapi janganlah terus lupa bahasa negara sendiri.
Keadaan ini tidak boleh dipandang enteng kerana jika dibiarkan, lambat-laun bahasa Melayu hanya tinggal nama dalam perlembagaan, tiada lagi roh dalam kehidupan seharian masyarakat.
Kita jangan rasa ia perkara biasa kerana nanti akhirnya kita yang kecewa.
Sebagai warganegara, kita bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan supaya terus menjadi jambatan yang menyatukan seluruh rakyat di negara ini.
Tanpa asas bahasa yang sama, sukar untuk kita bina persefahaman, apatah lagi identiti nasional.
Semuanya bermula dari ibu bapa masing-masing. Jika di rumah sudah dinormalisasikan penggunaan bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil saja, itulah bahasa komunikasi anak-anak kita.
Seorang pempengaruh gadis Cina yang dikenali sebagai Mek Yun mengakui tidak pandai bahasa Mandarin kerana sejak kecil dibesarkan dalam komuniti Melayu selain dihantar ibu bapanya ke tabika Kemas, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
Malah bahasa komunikasinya sekeluarga adalah bahasa campuran Melayu, Inggeris dan Siam sekali gus membuatkan dia sangat fasih berbahasa Melayu sehingga ada yang menyangka dia adalah orang Melayu.
Lain pula dengan pempengaruh asal Korea, Maryam You Narae atau dikenali sebagai Duriankimchi yang terus gigih menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan peminatnya malah turut mengajar anaknya Rina yang berusia empat tahun bercakap Melayu.
Contoh ini jelas menunjukkan semuanya bermula dari kita sendiri, mahu atau tidak saja.
Kalau bercakap bahasa Melayu pun tak pandai, macam mana nak jadi warganegara yang cintakan negara? Tidak dinafikan ada yang mungkin anggap ia perkara kecil sahaja, tetapi besar kesannya jika dibiarkan begitu saja.
Ingatlah, bahasa itu jiwa bangsa dan alat perpaduan negara. Jika tiadanya jiwa, maka hilangnya rasa.
* Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

