Heliza kongsi detik cemas bertembung tentera laut rejim Zionis

GAZA – Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan selebriti, Heliza Helmi sempat berkongsi detik cemas dialami kapal mereka apabila dipintas rejim Zionis di perairan antarabangsa pada malam Rabu.
Menurut Heliza, kejadian itu berlaku ketika mereka sudah merentasi kawasan perairan zon merah bagi membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, namun tetap berdepan ugutan dan halangan daripada tentera laut Israel.
Tambahnya, anak kapal flotilla Alma yang dinaiki kemudiannya disoal siasat oleh anggota kapal tentera laut Israel yang memintas mereka.
“Ketua kami (kapten kapal flotilla) memberitahu bahawa kami hanya membawa bantuan kemanusiaan... Kami hanya membawa makanan dan bekalan bantuan.
"Dia turut menegaskan kepada anggota rejim Israel bahawa genosid ini telah berlaku terlalu lama dan ramai yang telah terbunuh akibat perbuatan kamu (Israel). Lebih kurang begitulah maksudnya," katanya melalui satu kiriman video yang tular di media sosial pada Khamis.
Heliza menambah, kapten kapal flotilla itu tetap bertegas agar bantuan diserahkan secara terus tanpa sebarang helah, namun mereka tetap berdepan dengan halangan besar di tengah laut.
"Kemudian anggota rejim Israel memaklumkan kepada kami, kalau betul mahu meneruskan perjalanan, kamu hantarkan sahaja ke pangkalan kami, nanti kami di sini akan uruskan.
"Sudah tentu kami tidak bersetuju. Ketika itu datang pula satu halangan sangat besar. Pada waktu itu, langsung tiada capaian internet.
"Saya terdetik dalam hati, Ya ALLAH SWT, bagaimana hendak menghantar maklumat ini? Bagaimana hendak menyampaikannya? Hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.
"Saya sendiri tidak tahu sama ada rakan-rakan lain mempunyai capaian internet atau tidak.” katanya lagi.
Namun begitu, Heliza bersyukur kerana akhirnya berjaya mendapat capaian internet yang membolehkan mereka membuat siaran langsung SOS, meskipun ketika itu kapal Zionis sedang mengatur formasi di hadapan.
“Alhamdulillah, akhirnya kami mendapat akses internet juga dan kami terus membuat siaran langsung SOS. Pada masa itu, saya yakin pihak musuh sedang berkumpul dan mengatur gerakan di hadapan.
“Ketika itu, saya terus teringat kisah Perang Badar... Walaupun kita kecil bilangannya, tetapi dengan doa dan pertolongan ALLAH, segalanya mungkin,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sekretariat Nusantara Care Centre (SNCC), Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim mengesahkan kapal Alma yang membawa tiga wakil Malaysia telah dipntas di perairan antarabangsa pada jam 8.35 malam waktu Gaza pada 1 Oktober.
“Kapal ini membawa seramai tiga orang delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan akhbar pada awal pagi tadi.
Ringkasan AI
- Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dan selebriti, Heliza Helmi berkongsi detik cemas mereka dipintas rejim Zionis di perairan antarabangsa
- Kejadian berlaku ketika kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza disoal siasat oleh tentera laut Israel
- Kapten kapal flotilla menyatakan mereka hanya membawa makanan dan bekalan bantuan serta menegaskan genosid telah berlaku terlalu lama
- Mereka berdepan halangan besar termasuk tiada capaian internet tetapi akhirnya berjaya mendapat akses untuk membuat siaran langsung SOS
- Kapal Alma yang membawa tiga wakil Malaysia dipintas di perairan antarabangsa pada 1 Oktober
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
