Zara Qairina sentiasa menulis diari di asrama - Saksi

KOTA KINABALU - Zara Qairina Mahathir sentiasa menulis diari di dalam bilik asrama, namun saksi ke-16 tidak mengetahui berapa banyak buku diari yang dimiliki pelajar Tingkatan Satu itu.
Perkara tersebut dimaklumkan saksi yang juga kanak-kanak kelapan memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
Peguam, Joan Goh berkata, saksi menyatakan bahawa dia mengenali Zara Qairina sebagai seorang kawan biasa dan tinggal di dorm yang sama dengannya.
“Menurut saksi, Zara ada menulis diari di sekolah. Dia sentiasa menulis diarinya di dalam bilik asrama pada waktu petang dan malam.
“Saksi juga mengatakan bahawa dia tidak tahu berapa banyak buku diari yang ada dan tidak pasti sama ada Zara menulis diarinya setiap hari. Saksi juga tidak pernah membaca diari tersebut,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.
Joan berkata, dalam keterangannya saksi menyatakan bahawa semasa berada di dalam dorm, Zara sentiasa tidur di atas karpet di lantai dan kadangkala tidur di atas katil sendiri.
“Menurut saksi, Zara pernah memberitahunya bahawa dia malas memasang cadar,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai malam kejadian pada 15 Julai lalu, ketika saksi berada di bilik asrama, dia mendengar ada yang memanggil Zara Qairina datang ke bilik dorm sebelah.
“Selepas itu saksi nampak Zara pergi ke bilik bersebelahan. Saksi dimaklumkan oleh rakan sebilik bahawa Zara dipanggil untuk berjumpa senior mengenai kehilangan barang di dorm.
“Selepas Zara kembali ke dorm, dia terus baring di lantai dan menangis. Zara juga ada menjerit sambil berkata ‘aku tidak curi bah, sial’. Saksi tidak tahu bagaimana kejadian pertemuan Zara dengan senior kerana dia tidak pergi ke bilik sebelah. Sebelum ini, senior tidak pernah berjumpa dengan Zara. Setahu saksi, hanya sekali pada 15 Julai waktu malam,” katanya.
Joan dan rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh, merupakan peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Zara Qairina Mahathir sering menulis diari di dalam bilik asramanya tapi saksi tidak tahu berapa banyak buku diari yang dimilikinya
- Saksi mengakui tidak pernah membaca diari Zara
- Zara biasa tidur di atas karpet dan kadangkala di atas katilnya sendiri
- Pada malam 15 Julai, Zara dipanggil oleh senior berkaitan kehilangan barang di dorm
- Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai dan meninggal esok harinya di Hospital Queen Elizabeth
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
