24 PATI ditahan dalam serbuan gudang di kawasan kelapa sawit

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah gudang pada Rabu.
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah gudang pada Rabu.
A
A
A

BANTING – Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di sebuah gudang tanpa papan tanda perniagaan yang beroperasi di kawasan kelapa sawit di Telok Panglima Garang pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bermula jam 10.55 pagi itu adalah hasil aduan serta maklumat awam.

“Dalam operasi tersebut, dua lelaki warga China, sembilan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki dan lapan wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Kemboja ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, semakan awal mendapati dua warga China terbabit menyalahgunakan pas yang dimiliki, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa manakala warga asing lain tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Kita turut menyita beberapa naskhah pasport milik warga Bangladesh, Myanmar, China dan Kemboja selain sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, gudang itu dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk dihantar kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui platform aplikasi dalam talian.

“Bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, aktiviti tersebut dijalankan di premis terpencil yang terletak di kawasan kelapa sawit serta tidak mempunyai papan tanda perniagaan,” katanya.

Menurutnya, salah seorang daripada warga China yang ditahan turut dipercayai menggajikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan kerja yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zakaria berkata, dua warga China disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Dua warga Bangladesh pula disiasat mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama manakala selebihnya disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala tiga warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seramai 24 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam serbuan di gudang di Telok Panglima Garang
  • Serbuan bermula jam 10.55 pagi berdasarkan aduan awam
  • Ditahan termasuk warga China, Bangladesh, India, Myanmar dan Kemboja
  • Gudang beroperasi tanpa papan tanda di kawasan kelapa sawit, menjalankan pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China
  • Aktiviti dipercayai beroperasi selama enam bulan, dua warga China disiasat untuk penyalahgunaan pas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!