Malaysia teliti Pelan Damai Trump untuk Gaza

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan meneliti pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebanyakan negara Arab dan jiran bersetuju kerana mereka berpendapat perkara paling penting adalah menghentikan keganasan, menjamin kemerdekaan Palestin termasuk Gaza serta mempercepatkan bantuan kemanusiaan.
“Yang lain-lain yang terperinci itu masih dirundingkan, seperti yang kita tahu soal tiga hari diberi tempoh dan beberapa perincian.
“Kita baru terima pagi tadi sebenarnya, saya sudah teliti dan akan bawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan secara mendalam.
“Saya tidak fikir kerangka persetujuan itu akan memenuhi hasrat kita, terutama dalam mempertahankan prinsip keadilan bagi rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengunjungi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang pada Selasa.
Sebelum ini, beberapa negara Muslim utama dan kuasa besar Eropah menyatakan sokongan terhadap rancangan Trump bagi menamatkan perang di Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Indonesia dan Pakistan berkata mereka mengalu-alukan peranan Trump serta usaha beliau menamatkan konflik.
Negara-negara itu juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara positif dengan Amerika Syarikat dan pihak terbabit bagi memuktamadkan serta melaksanakan perjanjian tersebut.
Tambah Anwar, sebagai permulaan ia sangat bermakna iaitu menghentikan keganasan dan penjajahan ke atas bumi Palestin.
Jelasnya lagi, bantuan kemanusiaan amat mendesak dan membawa mesej yang besar kepada masyarakat dunia.
“Apa erti kemanusiaan? Saya lihat dengan konflik ini dan kezaliman yang berterusan, pembunuhan, penindasan serta pemusnahan yang berlaku di Gaza sebenarnya memberikan kecelakaan politik dan mencabar makna keadilan kemanusiaan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Malaysia akan meneliti pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebanyakan negara Arab dan jiran bersetuju untuk menghentikan keganasan dan menjamin kemerdekaan Palestin
- Pelan damai itu masih dalam perundingan termasuk beberapa perincian seperti tempoh tiga hari
- Beberapa negara Muslim utama dan kuasa besar Eropah menyatakan sokongan terhadap rancangan Trump untuk menamatkan konflik di Gaza
- Bantuan kemanusiaan kepada Palestin dilihat sangat mendesak dan penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

