'BUDI95 jimat, tapi perjalanan jauh makan kuota' - Pengguna

MELAKA – Hari pertama pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) menyaksikan orang ramai tidak melepaskan peluang ke stesen minyak bagi mencuba sistem subsidi baharu tersebut.
Namun dalam keterujaan menikmati harga lebih rendah, ada pengguna mengeluh apabila had kuota 300 liter sebulan dirasakan terlalu kecil untuk menampung perjalanan mereka yang jauh.
Tinjauan Sinar Harian di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) mendapati pengguna yang kurang faham mengenai sistem itu dibantu pekerja stesen minyak dan rata-rata pengguna teruja mencuba kemudahan berkenaan.
Seorang pekerja swasta, Normaalif Abu Bakar, 36, berkata, dia menyambut baik usaha kerajaan dalam menggelak berlakunya ketirisan minyak petrol namun mengakui kuota yang diberi cepat habis kerana perlu berulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Bila selalu jalan jauh pasti kuota cepat habis, mungkin kalau habis saya terpaksa guna kuota isteri untuk cukupkan.
“Walaupun ada had, saya tetap sokong langkah kerajaan ini kerana dapat elak salah guna terutama oleh warga asing," katanya
Tambahnya, sekurang-kurangnya harga lebih murah, dari RM2.05 seliter sebelum ini turun kepada RM1.99.
Bagi Muhammad Amin Sulaiman, 30, yang bekerja sebagai penghantar barangan Lalamove dari Bukit Katil, penjimatan itu sangat dirasai walaupun hanya menggunakan motosikal.
“Biasanya lebih RM200 sebulan habis untuk mengisi minyak dan melalui pengiraan saya dengan BUDI95 memang banyak jimat.
"Kalau dulu isi RM6 tak penuh, hari ini RM6 sudah penuh tangki motosikal," ujarnya.
Bagi Kamarulzaman Omar, 52, dari Felda Inas Kulai, Johor berkata, sistem yang diperkenalkan mudah dan bermula dari perjalanan di Johor dia telah berhenti di dua buah stesen minyak untuk memanfaatkan subsidi itu.
"Tadi saya mengisi minyak motosikal di Machap, Johor dan sekarang di Ayer Keroh, tiada sebarang masalah menggunakan MyKad untuk isi minyak yang diperkenalkan kerajaan," katanya yang dalam perjalanan melawat besan di Alor Gajah.
Ringkasan AI
- Hari pertama pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) disambut baik oleh rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas
- Pengguna mengeluh had kuota 300 liter sebulan terlalu kecil untuk menampung perjalanan jauh
- Pekerja stesen minyak membantu pengguna yang kurang faham sistem baru ini
- Normaalif Abu Bakar menyatakan kuota cepat habis kerana perlu berulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur untuk urusan kerja
- Muhammad Amin Sulaiman, penunggang penghantar barangan, merasai penjimatan dengan penggunaan BUDI95 walaupun hanya menggunakan motosikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

