Jemputan Trump: Peluang terbaik sampaikan pendirian Malaysia berhubung Palestin - Fahmi

Fahmi. Foto Bernama
Fahmi. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan disifatkan sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menyampaikan pendirian tegas berhubung isu Palestin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jemputan itu bukan dibuat atas kapasiti Malaysia semata-mata, sebaliknya sebagai pengerusi ASEAN yang mewakili kesepakatan 11 negara anggota.

Ujarnya, platform berkenaan memberi ruang penting untuk Malaysia dan ASEAN menyatakan secara terus kepada Donald Trump mengenai keperluan segera gencatan senjata serta penghentian kekejaman Israel di Gaza.

“Malaysia percaya kepada dialog. Menjemput adalah lebih sukar daripada memulaukan, namun inilah masa paling sesuai untuk kita menyampaikan pendirian jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Malaysia pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur, Kuala Lumpur pada Oktober.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata, jemputan itu disampaikan menerusi Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau hari ini.

Menurut Fahmi, menjemput pemimpin kuasa besar dunia adalah lebih sukar berbanding memulaukan, namun ia merupakan masa paling sesuai untuk menyampaikan mesej jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak lagi mahu berdiam diri.

"Kita lihat bagaimana di Perhimpunan Agung Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA), sikap banyak negara di dunia telah berubah.

Artikel Berkaitan:

"Malah dalam tempoh 24 jam yang terakhir, memang kita lihat perbincangan sangat hangat mengenai bukan sekadar gencatan senjata, tapi menghentikan perang di Gaza.

"Lebih bermakna untuk kita dalam saat sekarang apabila pelbagai negara termasuk Luxembourg telah mengiktiraf kewujudan negara bangsa Palestin," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah untuk menyampaikan pendirian Malaysia tentang isu Palestin
  • Jemputan itu dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi ASEAN yang mewakili kesepakatan 11 negara anggota
  • Platform sidang kemuncak memberi ruang penting untuk Malaysia dan ASEAN menyampaikan pendirian tentang gencatan senjata dan penghentian kekejaman Israel di Gaza kepada Trump
  • Malaysia percaya kepada dialog dan menganggap menjemput Trump lebih sukar daripada memulaukan namun penting untuk menyampaikan pendirian jelas
  • Kenyataan ini disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!