X

Kindly register in order to view this article
!

Stesen minyak, pasar raya di NS tutup jam 8 malam

Aminuddin Harun
A
A

Negeri Sembilan perketat larangan di semua premis perniagaan

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mula mengetatkan larangan Perintah Kawalan Pergerakan di semua premis perniagaan termasuk mengarahkan semua stesen minyak beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam berkuatkuasa 24 Mac.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, arahan itu dibuat bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

“Bagi premis makanan, restoran, gerai makan di tepi jalan dan kendera saji termasuk yang beroperasi 24 jam hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 8 malam.

“Arahan itu juga turut melibatkan semua pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka termasuk yang beroperasi 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, semua pasar awam pula perlu beroperasi mulai jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja manakala semua pasar malam, pasar tani dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi.

Sementara itu katanya, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Negeri Sembilan turut diaktifkan bagi pengurusan krisis dan bencana berkaitan Covid-19.

Aminuddin berkata, kerajaan akan mengagihkan peruntukan RM100,000 yang diterima daripada Agensi Bencana Alam (Nadma), Jabatan Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah di semua daerah dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan khas RM100,000 sebagai bantuan kepada petugas dan keperluan lain semasa penularan Covid-19.

“Saya harap semua rakyat di negeri ini dapat beri kerjasama dengan ikut segala arahan diberi pihak berkuasa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!