[VIDEO] Hanya seorang pelajar keluarkan kata kesat tapi bukan dituju kepada Zara Qairina – Saksi
KOTA KINABALU – Saksi ke-13, iaitu kanak-kanak kelima yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin, memaklumkan hanya seorang pelajar mengeluarkan perkataan kesat namun ia bukan ditujukan kepada Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Peguam, Azhier Farhan Arisin berkata, saksi tersebut tidak menafikan pada malam berkenaan, Zara Qairina memang dipanggil oleh lima pelajar senior ke dalam bilik dorm.
“Saksi juga tidak nafikan pada malam tersebut ada ungkapan ‘bodoh', 'sial’ yang diungkapkan oleh seorang pelajar, bukan semua. Hanya seorang, tetapi saksi itu menjelaskan ketika ungkapan tersebut dikeluarkan, ia bukan ditujukan kepada arwah Zara.
“Ketika ditanya bagaimana kedudukan pelajar tersebut melontarkan kata-kata itu, dia mengatakan ia dilontarkan ketika berdiri di hadapan pintu. Saya tanya adakah berhadapan dengan arwah Zara? Dia kata tidak.
“Kemudian apabila ditanya sama ada dalam perjumpaan itu arwah Zara didera, diaibkan, ditindas atau ditertawakan kerana mahu menjadi Badar, saksi menjawab tidak. Dia menafikannya,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Mengulas mengenai kewujudan ‘Geng Circle 19’, Azhier berkata, berdasarkan keterangan saksi, kumpulan itu bukanlah dipanggil geng.
“Saya tanya sama ada Circle 19 ini patut dipanggil geng atau kumpulan pelajar? Dia mengatakan ia kumpulan pelajar, bukan geng. Saya tanya sama ada Circle 19 ini terlibat dengan gangsterisme di asrama? Dia menafikan, ia hanyalah sekumpulan pelajar yang melakukan aktiviti bersama-sama untuk program sekolah.
“Jadi saya tanya lagi sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat dalam perjumpaan Zara pada malam tersebut? Dia menafikan. Saya bertanya lagi sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat mengepung Zara ketika itu, tetapi dia juga menafikan.
“Adakah kumpulan Circle 19 ini terlibat secara langsung dalam kematian arwah Zara? Dia menafikan, mengatakan tidak,” katanya.
Menurut Azhier, beliau kemudian meminta saksi membuat kesimpulan terhadap apa yang dialami dan dilihatnya sendiri.
“Saya tanya begini, kesimpulan daripada keterangan kamu, pengalaman adik dan penglihatan adik sendiri, bolehkah kalau abang katakan Zara ini dibuli dan ditindas oleh pelajar B, pelajar C, pelajar D dan pelajar E sehingga membawa kepada kematiannya, dan jawapan saksi adalah tidak.
“Ini adalah keterangan daripada saksi tersebut. Kami sebagai peguam bukan untuk putar belit fakta. Kami hanya tanya soalan dan saksi yang menjawab. Terpulang kepada hakim bagaimana dapatan daripada saksi ini ingin diinterpretasi. Itu tugas koroner, bukan tugas kami. Kami tidak membuat pujukan atau putar belit,” katanya.
Beliau menegaskan, peranan peguam hanyalah mengemukakan soalan manakala saksi yang menjawab, dan keputusan serta kesimpulan akan dibuat oleh koroner.
“Oleh itu, apa yang saya katakan hari ini bukan bertujuan membuat kesimpulan, tetapi untuk memberi maklumat kepada orang awam mengenai apa yang berlaku dalam mahkamah. Sebab media tidak ada akses terhadap keterangan kanak-kanak, jadi itu yang berlaku.
“Jadi elakkan spekulasi, jangan buat kesimpulan kerana saksi-saksi masih ramai lagi perlu dipanggil. Kita nak tahu apa saksi lain yang akan cakap,” ujarnya.
Sebelum itu, Azhier bersama rakan sepasukannya iaitu Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina.
Mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut yang kini memasuki hari ke-16 dan berlangsung di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak kelima sebagai saksi menyatakan hanya satu pelajar mengeluarkan perkataan kesat namun tidak ditujukan kepada Zara Qairina
- Pada malam kejadian, Zara dipanggil oleh lima pelajar senior ke dalam bilik dorm
- Circle 19 dianggap bukan geng tapi kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti sekolah bersama
- Saksi menafikan pembulian atau penindasan terhadap Zara yang membawa kepada kematiannya
- Peranan peguam hanyalah mengemukakan soalan dan bukan membuat kesimpulan, keputusan akan dibuat oleh koroner
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
