Kes Zara Qairina: AGC belum terima jawapan notis tunjuk sebab Mohd Shafie

Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijalankan di Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar kecil: Mohd Shafie.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijalankan di Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar kecil: Mohd Shafie.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara (AGC) belum menerima sebarang jawapan daripada Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Mahkamah Koroner berkenaan kenyataannya mengenai inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Selasa ini genap tujuh hari notis itu dikeluarkan.

“Setakat hari ini saya tidak menerima apa-apa jawapan kepada surat tunjuk sebab tersebut.

“Esok genap tujuh hari dan kami masih menunggu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Balai Besar di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki memberitahu, undang-undang bagaimana pun tidak menetapkan jawapan mesti diberi dalam tempoh tujuh hari.

“Kita hanya keluarkan notis supaya membolehkan beliau menjawab dan tidaklah bermaksud jika tidak jawab, kita terus ambil tindakan.

“Masa masih terbuka, ruang masih ada,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan susulan hanya akan dipertimbangkan selepas notis jawapan diterima kerana Mohd Shafie sebelum ini menyatakan kesediaan untuk memberi penjelasan.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 September lalu, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Mohd Shafie selepas kenyataannya dalam satu ucapan di Sandakan didakwa menghina mahkamah.

Shafie yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum ini menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai “satu pembunuhan” serta mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.

Permohonan mengeluarkan surat tunjuk sebab itu dibuat peguam Datuk Ram Singh pada prosiding tertutup inkues berkenaan dan tiada bantahan dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.

Ringkasan AI

  • AGC belum menerima jawapan dari Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung surat tunjuk sebab inkues kematian Zara Qairina
  • Esok genap tujuh hari notis itu dikeluarkan dan masih menunggu jawapan
  • Undang-undang tidak menetapkan jawapan mesti diberi dalam tempoh tujuh hari
  • Tindakan susulan hanya akan dipertimbangkan selepas notis jawapan diterima
  • Surat tunjuk sebab dikeluarkan selepas kenyataan Mohd Shafie di Sandakan didakwa menghina mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!