Perak tak abai sektor pertanian - Saarani

Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Sempena Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak pada Ahad.
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Sempena Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan negeri menegaskan usaha membangunkan Perak sebagai sebuah negeri perindustrian tidak bermakna sektor pertanian akan diabaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedua-dua sektor itu saling berkait dan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, sektor pertanian masih menjadi keutamaan bagi menjamin bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

“Kita ada tanah pertanian yang subur, maka kita kena bangunkan pertanian untuk membolehkan kita cukup sara diri dan juga menjadi pembekal makanan negara.

“Pada masa sama, kita bangunkan Perak sebagai negeri perindustrian sebab kita mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Jadi lebih ramai orang dapat pekerjaan, lebih ramai orang mendapat pendapatan tetap, maka orang Perak ada duit untuk berbelanja termasuk membeli produk pertanian,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput pada Ahad.

Mengulas usaha meningkatkan kadar sara diri (SSL) beras, Saarani berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada dua isu utama iaitu tanah jerlus dan kekurangan bekalan air akibat perubahan iklim.

Katanya, projek pemindahan air daripada Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pengairan sawah padi di daerah Kerian dapat dipenuhi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saarani berkata, penganjuran Perak Agrofest 2025 mencatat sambutan luar biasa dengan lebih 250,000 pengunjung direkodkan sehingga tengah hari Ahad.

Menurut beliau, edisi tahun ini disifatkan terbaik dari segi promosi, penyertaan terutama dalam kalangan golongan muda, serta kemudahan yang tersedia di Ladang Infoternak Sungai Siput.

“Saya yakin jumlahnya boleh cecah 400,000 orang seperti sasaran. Unjuran jualan RM4 juta juga dijangka tercapai kerana setakat tengah hari tadi nilai jualan sudah pun mencecah RM2.5 juta.

“Memang ada permintaan untuk buat setiap tahun, tapi kita tak boleh kerana perlu bergilir dengan MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia). Jadi selepas ini kita kembali pada 2027,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak berusaha membangunkan sektor perindustrian tanpa mengabaikan pertanian
  • Sektor pertanian masih menjadi keutamaan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi
  • Pembangunan tanah pertanian yang subur untuk mencukupi keperluan makanan dan menjadi pembekal
  • Meningkatkan peluang pekerjaan melalui pembangunan industri seiring dengan pertanian
  • Perak Agrofest 2025 mencatat sambutan hebat dengan jangkaan unjuran jualan RM4 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!