Tanah rizab: Menteri besar juga terikat peraturan -Saarani

Saarani (duduk, dua dari kiri) sempena program HBP Siri ke-7 Tahun 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh pada Isnin.
Saarani (duduk, dua dari kiri) sempena program HBP Siri ke-7 Tahun 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Tidak semua aduan rakyat yang dikemukakan kepada menteri besar dapat diselesaikan terutama apabila melibatkan isu tanah rizab.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masih terdapat kekangan undang-undang yang tidak boleh diubah, meskipun rakyat menaruh harapan tinggi agar kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah mereka.

"Ada setengah orang salah faham, bila jumpa menteri besar dan menteri besar tandatangan sahaja, maka semua boleh diuruskan... itu tidak benar.

"Kalau tanah itu tanah rizab Melayu contohnya, tidak boleh ditukar statusnya, maka tak bolehlah kerana saya juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan peraturan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri ke-7 Tahun 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh di sini pada Isnin.

Saarani berkata, pihaknya berterima kasih kepada rakyat yang hadir menyokong penganjuran program HBP sejak diperkenalkan pada 2022.

"Bagi mereka yang permintaannya dapat kita tunaikan, kita ucapkan tahniah. Tetapi bagi yang tidak dapat dipenuhi kerana melibatkan perkara di luar keupayaan kita, saya mohon maaf," katanya.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sehingga Siri Keenam HBP, sebanyak 773 aduan diterima dan 701 daripadanya atau 91 peratus berjaya diselesaikan, manakala 72 aduan (9 peratus) masih dalam tindakan.

"Hari ini kita terima 167 aduan dengan menampilkan 106 kaunter khidmat pelanggan, lima kaunter bergerak dan 10 reruai pameran.

Artikel Berkaitan:

"Turut diadakan jualan murah dan Jualan Rahmah bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup," katanya.

Selain itu, HBP kali ini turut menyediakan aktiviti senamrobik, sesi Pocket Talk berkaitan kesihatan mental oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pocket Talk mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi meningkatkan kesedaran kesejahteraan diri dan hala tuju pembangunan negeri.

Ringkasan AI

  • Tidak semua aduan rakyat kepada Menteri Besar Perak dapat diselesaikan terutama isu tanah rizab
  • Ada kekangan undang-undang yang tidak boleh diubah walaupun ada harapan tinggi dari rakyat
  • Tanah rizab Melayu tidak boleh ditukar statusnya mengikuti perlembagaan dan peraturan
  • Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan diperkenalkan sejak 2022 untuk mendengar aduan rakyat
  • Sehingga Siri Keenam HBP, 91 peratus aduan berjaya diselesaikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!