RM67.62 juta untuk BMT 2025 pekebun kecil Sabah - Ahmad Zahid

KOTA BELUD - [KEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67.62 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Sabah 2025 yang bakal memberi manfaat kepada 84,534 pekebun kecil dan penoreh getah di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, 3,746 penerima adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) manakala 80,788 lagi melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Beliau berkata, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM800 seorang yang dibayar secara berperingkat bermula November 2025 bagi meringankan beban kehilangan pendapatan sepanjang musim tengkujuh.
"Sejak diperkenalkan pada 2018, BMT menjadi wadah penting kerajaan mempergiat bantuan kepada masyarakat desa agar seluruh warga luar bandar menikmati limpahan hasil pembangunan negara yang inklusif dan adil,” katanya ketika berucap merasmikan RISDA MADANI (PRISMA) Sabah 2025 di Padang Pekan Kota Belud di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM44.42 juta tahun ini khusus bagi pembangunan lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah.

"Ia bukan sekadar angka, tetapi amanah untuk membina masa depan komuniti pekebun kecil di negeri ini. Peruntukan ini bukti nyata keprihatinan kerajaan dalam membangunkan komuniti pekebun kecil getah.
"LIGS sebagai rakan strategik RISDA membolehkan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil dilaksana dengan lebih strategik, berfokus dan mampan,” katanya.
Mengulas mengenai PRISMA, beliau berkata, ia mencerminkan usaha murni RISDA bagi memastikan setiap inisiatif sistem perkhidmatannya sampai secara langsung dan meluas kepada rakyat.
"Seperti yang saya sering tekankan, inisiatif seperti peningkatan produktiviti getah, peluasan penjualan kayu getah terawat, pemerkasaan syarikat RISDA serta peluasan hab pemasaran produk usahawan melalui rangkaian RisSMart mesti dilaksanakan secara sistematik, strategik dan inklusif,” katanya.
Ahmad Zahid turut berharap PRISMA tidak dilihat sebagai program tahunan semata-mata, sebaliknya ia menjadi platform pemerkasaan usahawan desa Sabah untuk memperluas pasaran, meningkatkan daya saing produk dan membina ekonomi tempatan yang mapan.
Pada majlis itu, RISDA melancarkan logo baharu yang menjadi simbol aspirasi, semangat perjuangan serta keutuhan iltizam agensi dalam membela komuniti pekebun kecil di seluruh negara.

Perubahan itu membawa makna besar sebagai lambang kekuatan akar umbi pekebun kecil yang menyumbang hampir 90 peratus pengeluaran getah negara sekali gus mencerminkan iltizam RISDA untuk terus bergerak seiring cabaran semasa dan mendatang dalam memastikan sektor pekebun kecil kekal sebagai tonggak utama industri getah negara.
Perubahan warna hijau kepada emas pula menjadi manifestasi kejayaan sepanjang lebih lima dekad perjalanan RISDA selain melambangkan kegemilangan, ketulenan serta pencapaian luar biasa yang telah diraih, serta menggambarkan identiti baharu agensi yang lebih moden, profesional, inovatif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran global.
Dalam masa sama, struktur logo turut diperkemas dengan penambahan jalur pada mangkuk getah daripada sebelas jalur kini menjadi empat belas jalur yang menzahirkan peluasan operasi RISDA yang kini benar-benar mencakupi seluruh pelusuk negara, menjadikan agensi ini menerajui pembangunan komuniti pekebun kecil yang berskala nasional, inklusif dan menyeluruh.
Kombinasi warna emas bersama jalur baharu itu membawa aspirasi segar untuk RISDA tampil sebagai agensi berprestasi tinggi yang memacu transformasi sektor komoditi getah.
Sejajar dengan Gagasan Malaysia Madani serta hala tuju Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Aspirasi Desa Madani, logo tersebut menegaskan komitmen RISDA untuk terus memperkasa pekebun kecil bukan sekadar sebagai penerima manfaat, tetapi sebagai pelaku ekonomi desa yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.

Pelancaran ini menjadi titik tolak kepada fasa transformasi RISDA yang lebih gemilang, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa agensi ini akan terus menjadi tonggak utama dalam membangunkan sosioekonomi pekebun kecil, memperkasakan masyarakat desa serta menyumbang kepada pertumbuhan mapan industri getah negara.
Sebagai tanda keprihatinan, RISDA juga menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan RISDA bernilai RM73,000 kepada 600 penerima yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan RM67.62 juta untuk Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Sabah 2025, manfaat kepada 84,534 pekebun kecil dan penoreh getah
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan setiap penerima BMT akan terima RM800 seorang bermula November 2025
- Kerajaan juga memperuntukkan RM44.42 juta tahun ini untuk pembangunan lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah
- PRISMA dilancarkan sebagai usaha RISDA memastikan inisiatif dan perkhidmatannya menyentuh kehidupan rakyat secara langsung
- RISDA melancarkan logo baharu dan menyalurkan sumbangan CSR Yayasan RISDA bernilai RM73,000 kepada 600 penerima yang terjejas akibat bencana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
