Kerajaan akan anjurkan sesi townhall antibuli bersama pelajar sekolah - Azalina

Azalina. Foto Bernama
Azalina. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan bercadang mengadakan sesi dialog awam atau townhall bersama pelajar sekolah bagi mendapatkan pandangan berkaitan pelaksanaan tribunal antibuli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi itu akan menjadi platform penting untuk mendengar suara golongan pelajar yang sering berdepan dengan isu buli.

"Kalau nak buat, biarlah betul-betul. Jangan hanya simbolik.

"Untuk kanak-kanak bawah 18 tahun, sesi ini mestilah benar-benar ‘pro child’ dan tidak membebankan. Ia perlu bersifat 'child-centric'," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sesi Townhall Antibuli di Peringkat Pulau Pinang dan Perak di sini, pada Jumaat.

Azalina menegaskan isu buli sukar ditakrifkan kerana tafsiran berbeza-beza, namun ia tetap memberi kesan besar kepada mangsa.

"Kadang-kadang seseorang rasa tergugat walaupun orang lain anggap itu bukan buli.

"Sebab itu penilaian terhadap isu ini berbeza mengikut keadaan," jelasnya.

Beliau berkata, sesi townhall bersama pelajar dijangka diadakan pada Oktober ini, melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah serta mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Kita akan bawa pelajar ke hadapan untuk berkongsi pandangan mereka. Suara kanak-kanak perlu diberi keutamaan kerana mereka adalah pihak yang paling terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk universiti pula, saya akan bersama dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir untuk sesi yang akan diadakan nanti,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan mahu mendengar secara langsung pengalaman dan pandangan pelajar agar sebarang dasar atau perundangan berkaitan tribunal antibuli benar-benar mengambil kira kepentingan mereka.

Azalina turut memaklumkan bahawa rang undang-undang berhubung tribunal antibuli itu dijangka dibentangkan pada Disember ini.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!