Townhall antibuli: Usaha baik perlu disusuli tindakan tegas

Langkah kerajaan menganjurkan sesi townhall antibuli bersama pelajar sekolah merupakan satu usaha yang sangat dialu-alukan dalam menangani isu buli yang semakin membimbangkan di negara ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menghadiri Sesi Townhall Antibuli di Peringkat Pulau Pinang dan Perak pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan bercadang mengadakan sesi dialog awam atau townhall bersama pelajar sekolah bagi mendapatkan pandangan berkaitan pelaksanaan tribunal antibuli.
Usaha tersebut bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mendekati golongan muda secara langsung, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar untuk bersuara mengenai isu yang sering berlaku secara senyap dalam ruang tertutup sekolah.
Melibatkan pelajar dalam dialog terbuka seperti townhall boleh memberikan impak yang besar kerana ia membolehkan pengalaman sebenar diketengahkan terus kepada pembuat dasar.
Ramai pelajar yang selama ini takut atau tidak tahu kepada siapa mahu mengadu, akhirnya diberi platform untuk menyuarakan pengalaman mereka sama ada sebagai mangsa buli, saksi, atau individu yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Ini juga membantu pihak berwajib melihat masalah daripada kaca mata pelajar sendiri, bukannya sekadar berdasarkan laporan rasmi atau statistik semata-mata.
Namun begitu, walaupun sesi townhall ini membawa harapan baharu, ia tidak harus berhenti setakat mendengar cerita dan luahan hati.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana maklumat dan pandangan yang diperoleh daripada sesi tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang konkrit dan menyeluruh.
Sekiranya tiada susulan yang serius, maka townhall itu akan hanya menjadi satu lagi program bersifat simbolik yang akhirnya dilupakan begitu sahaja.
Sebagai kesimpulan, townhall antibuli bersama pelajar merupakan satu langkah permulaan yang baik, tetapi ia tidak boleh dijadikan solusi tunggal.
Perubahan sebenar hanya akan berlaku jika suara pelajar yang didengar itu benar-benar dijadikan asas untuk memperbaiki sistem yang ada.
Usaha melawan budaya buli memerlukan komitmen jangka panjang, pelaksanaan dasar yang tegas, dan yang paling penting keberanian untuk bertindak, bukan sekadar mendengar.
Ringkasan AI
- Langkah kerajaan menganjurkan sesi townhall antibuli bersama pelajar menyambut baik dalam menangani isu buli
- Sesi townhall bertujuan untuk mendapatkan pandangan pelajar tentang pelaksanaan tribunal antibuli
- Melibatkan pelajar dalam dialog terbuka membolehkan pengalaman sebenar diketengahkan kepada pembuat dasar
- Pihak berwajib dapat memahami masalah buli daripada perspektif pelajar, bukan hanya melalui laporan rasmi
- Perubahan sebenar memerlukan tindakan konkrit berdasarkan suara pelajar, bukan hanya dialog tanpa susulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

