Nur Amalina sanggup korbankan cita-cita demi jaga ibu, adik

Nur Amalina (kanan) setia menjaga ibu dan adiknya di rumah mereka di Kampung Tanjung Langsat.
Nur Amalina (kanan) setia menjaga ibu dan adiknya di rumah mereka di Kampung Tanjung Langsat.
A
A
A

PASIR GUDANG – Seorang gadis berusia 21 tahun sanggup mengetepikan impian melanjutkan pengajian dan cita-cita menjadi jurusolek demi menjaga ibunya yang patah paha sejak hampir dua tahun lalu serta adik perempuannya yang merupakan anak syurga.

Anak sulung keluarga itu, Nur Amalina A. Rahman, berkata ibunya, Sri Rahayu Ismadi, 43, sudah lima kali menjalani pembedahan selepas terjatuh di dapur rumah mereka dan masih memerlukan bantuan ahli keluarga untuk mengurus diri.

“Ibu masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan doktor memberitahu ia akan sembuh secara berperingkat.

"Saya fikir jika sambung belajar, siapa akan jaga ibu kerana ayah bekerja sebagai nelayan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Langsat.

Rutin hariannya bermula seawal 6 pagi termasuk membersihkan dan menyuapkan makanan kepada ibu, memberi ubat serta memasak sebelum menguruskan adiknya, Nur Aima Najwa, 16, yang menghidap sindrom Down.

Nur Amalina (kanan) setia menjaga ibu dan adiknya di rumah mereka di Kampung Tanjung Langsat.
Nur Amalina (kanan) setia menjaga ibu dan adiknya di rumah mereka di Kampung Tanjung Langsat.

Katanya, ibunya masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan doktor meramalkan ibunya berpeluang untuk sembuh secara berperingkat.

Menurutnya, dia juga memberi jagaan kepada Nur Aima Najwa termasuk memandikan adiknya itu serta memberikan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Adik kedua saya, Nur Aima Najwa, 16, mengalami masalah sindrom down manakala adik bongsu, Nur Aina Aqeela, 13, masih belajar di tingkatan tiga.

"Saya memang berminat untuk belajar bidang solekan tetapi buat masa ini saya tolak tepi impian saya itu sehingga keadaan ibu pulih,.

"Ayah turut membantu pada hari dia berehat dan tidak ke laut kerana tidak mahu membebani saya namun saya ikhlas membantu keluarga," ujarnya.

Terdahulu keluarga Nur Amalina menerima sumbangan barangan keperluan termasuk lampin pakai buang dan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Sri Rahayu berkata, anggaran pendapatan suaminya adalah RM600 sebulan dan keluarganya juga menerima bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

"RM300 kami hanya gunakan sepenuhnya untuk menampung kos pembelian lampin pakai buang.

"Kadang-kala kewangan kami memang terhad, syukur adik-beradik membantu sekiranya kami terdesak.

"Saya juga bersyukur kerana Nur Amalina banyak berkorban demi keluarga, dia tidak pernah mengeluh dan kami sedar dia penat namun dia sentiasa tabah.

"Saya faham pada usia sepertinya, ramai yang mahu bekerja selain mungkin mementingkan hiburan sebagainya namun saya terharu dengan pengorbanannya," katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) A.Rahman di 0113729000057992.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

"Kami sedar kesulitan dialami keluarga nelayan itu yang juga tiada pendapatan tetap," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Nur Amalina A. Rahman, 21 tahun, tunda pendidikan dan cita-cita demi menjaga ibu yang patah paha dan adik yang mengidap sindrom Down
  • Ibunya, Sri Rahayu Ismadi, menjalani lima pembedahan dan masih memerlukan bantuan keluarga setelah terjatuh di dapur
  • Rutin harian Nur Amalina bermula 6 pagi termasuk membersihkan, menyuapkan makanan, memberi ubat kepada ibu dan menguruskan adiknya
  • Keluarga itu menerima sumbangan barangan keperluan dan dapur bernilai RM1,000 dari Pasaraya Econsave Cash And Carry
  • Pendapatan keluarga bergantung pada ayah yang nelayan dengan pendapatan RM600 sebulan dan bantuan bulanan RM300 dari Majlis Agama Islam Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!