Malaysia kecam ancaman, tuntut laluan selamat untuk Flotila Sumud Global

KUALA LUMPUR - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan Flotila Sumud Global (GSF) pada Selasa, dan menggesa agar laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal misi itu bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar berkata Malaysia menegaskan semula bahawa GSF, sebagai misi kemanusiaan aman untuk menghantar bantuan ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang dan sangat penting dari segi moral berikutan genosid serta kebuluran yang sedang berlaku di wilayah Palestin.
"Malaysia menggesa ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta, dan laluan selamat tanpa halangan bagi para peserta Flotila serta kapal mereka dijamin,” kata kenyataan itu.
GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, yang menyertai hampir 70 buah kapal dengan matlamat memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai flotila dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Malaysia terus berdiri teguh bersama Palestin dan mengulangi gesaannya agar genosid serta sekatan haram ke atas Gaza ditamatkan segera, kata kenyataan itu.
Terdahulu, Bernama melaporkan konvoi GSF berdepan detik tegang selepas menjadi sasaran intimidasi dron rejim Israel, sebahagiannya dilaporkan meletup di udara ketika insiden berlaku.
Ketua Pengarah merangkap jurucakap Pusat Kawalan Flotilla Sumud Nusantara, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, flotila itu telah berdepan siri taktik ugutan dengan sebanyak 15 dron terbang rendah pada selang masa setiap 10 minit. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan Flotila Sumud Global dan menggesa laluan selamat tanpa halangan untuk misi kemanusiaan ke Gaza
- Misi GSF dianggap sah dan sangat penting moralnya berikutan genosid dan kebuluran di wilayah Palestin
- Kementerian Luar Malaysia menggesa ancaman keganasan dihentikan serta laluan selamat bagi peserta dan kapal flotila dijamin
- GSF membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dengan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia termasuk 34 rakyat Malaysia
- Konvoi GSF telah berdepan intimidasi dron rejim Israel dengan 15 dron terbang rendah yang mengugut misi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
