Hanyut 9 jam di laut, pemain piano diselamatkan nelayan

LOS ANGELES - Seorang pemain piano yang bekerja di sebuah kapal persiaran berjaya diselamatkan oleh dua nelayan selepas hanyut selama sembilan jam di Lautan Pasifik, kira-kira 30 kilometer dari pantai California, Amerika Syarikat (AS) pada akhir minggu lalu.
CBS News melaporkan punca lelaki berusia 37 tahun itu terjatuh ke laut dari kapal Ovation of the Seas milik Royal Caribbean yang dalam pelayaran menuju Mexico masih belum diketahui.
Identiti lelaki berkenaan tidak didedahkan. Bagaimanapun, Pengawal Pantai AS memaklumkan mangsa dibawa ke hospital dan keadaannya tidak mengancam nyawa.
Ketika kejadian itu, dua nelayan, Grant Garrett dan Sean Norton sedang dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan marlin berhampiran Pulau Santa Catalina apabila ternampak kelibat lelaki tersebut di tengah laut.
Menurut Garrett, sebaik sahaja menyedari seseorang sedang terapung di laut, dia segera meminta rakannya menghentikan bot untuk memberikan bantuan.
"Lelaki itu berada dalam keadaan sangat terkejut dan hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana menyangka dirinya akan mati di tengah laut," ujar Norton.
Mereka kemudiannya membuat panggilan kecemasan maritim sebelum sekumpulan anggota penyelamat pantai dari Newport Beach tiba di lokasi. Siasatan awal mendapati lelaki itu mungkin terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 2.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat.
Mangsa dipercayai mampu bertahan begitu lama di dalam air berikutan suhu laut yang luar biasa panas akibat fenomena El Nino.
Suhu air ketika kejadian mencecah kira-kira 24 darjah Celsius, sekali gus membantu lelaki itu untuk terus bertahan sehingga diselamatkan.
Pengawal Pantai AS mengesahkan mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan stabil dan siasatan tentang kejadian itu masih dijalankan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

