Gibran tersepit dalam kemelut politik Indonesia

JAKARTA – Kedudukan Wakil Presiden (Wapres) Indonesia, Gibran Rakabuming Raka terus menjadi tanda tanya apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mula mempertimbangkan siasatan terhadap kelayakannya yang turut menyaksikan tiga tokoh Parti Solidariti Indonesia (PSI) yang mempunyai kaitan dengan keluarga bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan peletakan jawatan daripada parti tersebut.
Perkembangan itu berlaku menjelang pembukaan semula sidang DPR pada Selasa. Tiga tokoh PSI yang meletakkan jawatan ialah Menteri Kehutanan, Raja Juli Antoni; Timbalan Menteri Kebudayaan, Giring Ganesha; dan Timbalan Menteri Kependudukan dan Pembangunan Keluarga, Isyana Bagoes Oka.
Raja Juli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PSI pada Isnin atas alasan mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawabnya membantu pentadbiran Presiden Prabowo Subianto. Giring dan Isyana turut mengambil langkah serupa selepas hampir sedekad menganggotai PSI.
Ketua Umum PSI, Kaesang Pangarep yang juga anak bongsu Jokowi menerima keputusan ketiga-tiga tokoh berkenaan dan menghargai sumbangan mereka sepanjang bersama parti itu.
PSI mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Jokowi sedangkan Gibran bukan anggota mana-mana parti politik.
Peletakan jawatan itu turut menarik perhatian kerana PSI antara suara yang lantang menentang desakan supaya Gibran disingkirkan daripada jawatan Naib Presiden.
Kontroversi kelayakan Gibran tercetus susulan keputusan mahkamah yang mempersoalkan kesahihan dokumen akademik yang digunakan beliau bagi memenuhi syarat pencalonan pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Mahkamah Perlembagaan menjelaskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan kelayakan Gibran selepas beliau memegang jawatan, sekali gus meletakkan tanggungjawab tindakan susulan kepada institusi lain.
Speaker DPR, Puan Maharani berkata, beliau telah menerima pelbagai pandangan daripada parti politik sepanjang tempoh persidangan ditangguhkan selama sebulan dan perkara itu akan dibincangkan bagi menentukan langkah seterusnya.
Ketegangan politik itu berlaku ketika hubungan antara Prabowo dan Jokowi dikatakan semakin renggang selepas insiden penahanan tiga pegawai kanan polis yang didakwa terbabit dalam kegiatan pengintipan haram.
Dalam perkembangan berkaitan, Prabowo dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Gibran, namun tujuan perbincangan itu tidak didedahkan. Setakat ini, DPR belum memutuskan sebarang tindakan rasmi terhadap Gibran. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

