Itali hantar kapal tempur tentera laut bantu Global Sumud Flotilla

Keadaan kapal GSF yang diserang dalam kejadian pada Rabu. Foto Agensi
Keadaan kapal GSF yang diserang dalam kejadian pada Rabu. Foto Agensi
A
A
A

ATHENS/ROME – Itali menghantar kapal tempur tentera laut bagi memberi bantuan selepas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece, pada Rabu.

GSF yang menggunakan kira-kira 50 bot awam itu dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza, turut membawa ramai peguam dan aktivis termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.

Jurucakap March to Gaza Greece yang juga sebahagian daripada flotila berkenaan, Marikaiti Stasinou berkata, kapal-kapal itu diserang 12 dron di perairan antarabangsa, 30 batu nautika dari Pulau Gavdos, Greece.

Bagaimanapun, katanya, semua penumpang dilaporkan selamat selepas dron meletup di atas kapal-kapal terbabit.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto dalam kenyataan menyatakan bahawa konvoi laut itu telah menjadi sasaran ‘pihak tidak dikenali pada masa ini’.

Keadaan kapal GSF yang diserang dalam kejadian pada Rabu. Foto Agensi
Keadaan kapal GSF yang diserang dalam kejadian pada Rabu. Foto Agensi

Beliau menyuarakan ‘kecaman paling keras’ terhadap insiden tersebut.

Crosetto menambah, frigat pelbagai guna Itali, Fasan, yang sebelum ini berlayar di utara Crete, kini dalam perjalanan menuju flotila berkenaan bagi kemungkinan operasi menyelamat.

Artikel Berkaitan:

Seorang pegawai Itali berkata, tentera laut digerakkan terutama untuk membantu rakyat Itali di atas kapal.

“Jika diperlukan, frigat kami mempunyai kemudahan perubatan lengkap,” katanya.

Israel berulang kali mengkritik flotila itu dengan menuduh para aktivis terbabit bersubahat dengan kumpulan militan Hamas.

Pada Rabu, Kementerian Luar Israel memberi amaran di platform X bahawa Israel ‘akan mengambil langkah yang perlu’ untuk menghentikannya sekiranya flotila tidak menerima cadangan alternatif iaitu bantuan dihantar terlebih dahulu ke pelabuhan Israel, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Israel untuk dibawa masuk ke Gaza.

Tiada sebarang komen segera daripada tentera Israel berhubung serangan semalaman itu.

Terdahulu, pada Isnin, pekerja pelabuhan di bandar Genoa, Itali bertindak keluar dan menyekat laluan ke terminal utama sebagai sebahagian daripada mogok anjuran kesatuan buruh Itali bagi membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Di pelabuhan Genoa, para pekerja menyekat laluan masuk sejak awal pagi sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan solidariti.

Tindakan serupa turut berlaku di Pelabuhan Livorno, manakala beberapa sekolah dan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Itali turut terjejas akibat mogok tersebut. – AGENSI

Ringkasan AI

  • Itali menghantar kapal tempur tentera laut untuk membantu misi kemanusiaan yang diserang dron di perairan antarabangsa dekat Greece
  • Global Sumud Flotilla menggunakan 50 bot awam cuba pecah sekatan laut Israel ke Gaza
  • Kapal-kapal diserang oleh 12 dron di perairan antarabangsa, semua penumpang dilaporkan selamat
  • Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, mengutuk serangan terhadap konvoi laut itu oleh pihak tidak dikenali
  • Israel mengkritik flotila itu, menuduh aktivis bersubahat dengan Hamas dan memberi amaran akan mengambil langkah perlu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!