Lelaki pandu melulu hampir rempuh pejalan kaki ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu kereta yang tular kerana memandu secara melulu dan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah hingga hampir merempuh seorang pejalan kaki di Jalan Sultan Hishamudin di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pemandu e-hailing berusia 42 tahun itu ditahan pada jam 8.15 pagi, Rabu.
Menurutnya, pemandu kereta Perodua Bezza tersebut dikesan melanggar lampu isyarat merah di lokasi berkenaan dari arah Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.
“Akibat perbuatan itu, pemandu kereta terbabit hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas di laluan lintasan jalan berkenaan.
“Pemandu itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/0269, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, video kejadian dipercayai berlaku pada Selasa tular di aplikasi TikTok menerusi rakaman berdurasi 32 saat.
Kereta terbabit yang berada di lorong kanan dilihat hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga menyebabkan barang dibawanya terjatuh.
Bagaimanapun, wanita berkenaan difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ringkasan AI
- Polis menahan pemandu kereta e-hailing yang tular kerana memandu melulu dan melanggar lampu merah di Jalan Sultan Hishamudin, Kuala Lumpur
- Pemandu berusia 42 tahun ditahan pada jam 8.15 pagi, Rabu
- Pemandu melanggar lampu isyarat merah dari arah Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka
- Perbuatan pemandu hampir merempuh seorang pejalan kaki yang melintas
- Pemandu itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

