Logo pada kenderaan bukan milik PDRM, sebaliknya lambang NGO

Tular hantaran di media sosial memaparkan sebuah kenderaan didakwa melekatkan logo menyerupai lambang rasmi PDRM.
Tular hantaran di media sosial memaparkan sebuah kenderaan didakwa melekatkan logo menyerupai lambang rasmi PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Logo didakwa menyerupai lambang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dipaparkan pada cermin sebuah kenderaan menerusi video tular di media sosial sebenarnya bukan logo rasmi agensi itu, sebaliknya milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, siasatan awal mendapati logo berkenaan merupakan lambang rasmi Pertubuhan Kebajikan Nurqasih yang berdaftar secara sah.

Menurutnya, pihak polis mengesan satu hantaran video tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan persendirian dengan logo yang kelihatan sangat menyerupai identiti rasmi PDRM.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati logo yang ditampal atau dipaparkan pada kenderaan tersebut bukanlah logo rasmi PDRM, sebaliknya merupakan reka bentuk yang mempunyai persamaan dari segi visual.

"Logo tersebut adalah milik sebuah pertubuhan kebajikan iaitu Nurqasih yang berdaftar secara sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tular hantaran di media sosial memaparkan sebuah kenderaan didakwa melekatkan logo menyerupai lambang rasmi PDRM.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan sama ada penggunaan logo berkenaan pada kenderaan itu mematuhi undang-undang sedia ada atau mempunyai tujuan untuk mengelirukan orang awam.

"PDRM memandang serius sebarang tindakan meniru, mengubah suai atau menggunakan lambang yang menyerupai identiti pasukan keselamatan tanpa kebenaran.

"Tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat selain menjejaskan imej dan identiti PDRM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!