[VIDEO] Tragedi kepala air: SAR dilaksanakan dalam jarak 3.5km - JBPM

A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 124 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak, di sini.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Razak Muda, berkata operasi pada Rabu memberi tumpuan kepada empat sektor pencarian iaitu A, B, C dan D yang secara keseluruhan dianggarkan dalam jarak 3.5 kilometer (km).

"Daripada lapan mangsa yang dihanyutkan kepala air, lima berjaya ditemukan semalam (Selasa), manakala tiga lagi masih belum ditemui.

"Sektor C menjadi kawasan tumpuan utama dengan kira-kira dua pertiga kekuatan anggota penyelamat digerakkan ke kawasan berkenaan, manakala pencarian di sektor A, B dan D turut diteruskan dengan kekuatan anggota lebih terhad," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Abdul Razak berkata, jarak pencarian di sektor A kira-kira satu kilometer, sektor B juga satu kilometer, sektor C antara 500 hingga 600 meter, manakala sektor D kira-kira satu kilometer.

"Kita masih percaya tiga mangsa berkenaan berada di kawasan tidak melebihi jambatan ini berdasarkan beberapa faktor, terutama pergerakan arus air," katanya.

Abdul Razak (tengah) pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.
Abdul Razak (tengah) pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Abdul Razak berkata, lima mangsa yang ditemukan semalam, masing-masing ditemui di sektor A dan C, sekali gus membantu pasukan penyelamat menentukan kawasan yang perlu diberikan tumpuan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi hari ini turut dibantu dua anjing pengesan Unit K9 JBPM, pasukan Storm, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Seekor anjing pengesan K9 memberikan petunjuk positif berdasarkan bau ketika pencarian pada pagi tadi, namun pemeriksaan menggunakan seekor lagi anjing tidak menunjukkan petunjuk sama.

"Walaupun begitu, kita tetap meneruskan pencarian dan setakat ini belum memperoleh sebarang petunjuk yang dapat mengesahkan lokasi mangsa," katanya.

Beliau berkata, pencarian dilakukan melalui kaedah pencarian di permukaan air menggunakan bot, selain anggota penyelamat meredah sungai bagi memeriksa kawasan berumput yang berkemungkinan menjadi lokasi mangsa tersangkut.

"Selain itu, pencarian hari ini turut dibuat menggunakan bantuan Unit Dron PDRM dan Unit Dron JBPM, yang melaksanakan pemantauan dari udara sebelum berkongsikan sesuatu maklumat kepada Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, operasi dijadualkan diteruskan sehingga jam 6 petang sekiranya keadaan cuaca mengizinkan dan selagi keadaan pencahayaan membolehkan pasukan penyelamat menjalankan pencarian dengan selamat.

Dalam kejadian pada Isnin, lapan individu dihanyutkan kepala air ketika berada di kawasan Sungai Pertak, dengan lima mangsa ditemukan setakat ini manakala tiga lagi masih belum ditemui.

Tiga mangsa yang masih hilang ialah Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, warga Yaman; Chinnasamy Duraimurugan, 36, dan Monikkoth Raghunath, kedua-duanya warga India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!