[VIDEO] VIP, ahli politik antara pemilik kereta mewah culas bayar cukai jalan

A
A
A

PUTRAJAYA – Golongan kenamaan, termasuk ahli politik, antara pemilik kenderaan mewah yang didapati culas memperbaharui cukai jalan, dengan jumlah tunggakan mencecah hampir RM35.7 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lima jenis kenderaan mewah paling popular iaitu Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche mencatat jumlah tunggakan cukai jalan yang tinggi.

Menurut beliau, terdapat 345 buah Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

"Keseluruhannya, hanya lima jenis kenderaan ini sahaja sudah mencecah hampir RM35.7 juta cukai jalan yang tidak diperbaharui.

"Jumlah ini melibatkan kurang 10,000 kenderaan tetapi nilai tunggakan sangat besar,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Beliau menegaskan JPJ mempunyai semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat dalam sistem.

Anthony menunjukkan senarai nama pemilik kenderaan mewah yang gagal bayar cukai jalan ketika sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.
Anthony menunjukkan senarai nama pemilik kenderaan mewah yang gagal bayar cukai jalan ketika sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

"Walaupun ada dalam kalangan mereka bergelar Tan Sri, ahli politik atau ahli perniagaan ternama, saya tidak akan umumkan nama kerana tidak mahu memalukan sesiapa.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon mereka yang tergolong dalam kumpulan ini supaya menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan masing-masing,” katanya.

Menurut Anthony, JPJ kini melaksanakan Ops Luxury secara berterusan bagi mengesan dan menyita kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah.

"Kenderaan yang ditahan akan disita serta-merta supaya tidak berada di atas jalan raya sehingga pemilik melunaskan cukai jalan dan insurans.

"Operasi ini bukan bertujuan memalukan individu tertentu tetapi memberi mesej jelas bahawa semua pihak, tanpa mengira status, mesti mematuhi undang-undang,” katanya.

Anthony berkata, ada pemilik yang sengaja menunggu sehingga kenderaan mereka disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 lebih murah berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dijelaskan.

"Jika sikap ini berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil langkah lebih drastik. Jangan paksa kami umumkan nama atau dedahkan senarai pemilik jika mereka terus berdegil,” tegasnya.

Beliau berkata, kadar cukai jalan bagi kenderaan mewah ada yang mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun dan pemilik wajib memastikan ia diperbaharui bagi membolehkan kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya.

"JPJ telah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun tidak semua kes disiarkan di media, operasi ini berjalan secara berterusan,” katanya.

Beliau menambah, operasi berterusan ini bertujuan memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya mematuhi peraturan, termasuk memiliki insurans sah demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Ringkasan AI

  • Golongan kenamaan dan ahli politik termasuk dalam pemilik kenderaan mewah yang cenderung mengelak dari memperbaharui cukai jalan dengan tunggakan RM35.7 juta
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mendedahkan hal ini dalam sidang akhbar
  • Jabatan Pengangkutan Jalan menyemak dan mendapati sejumlah kenderaan mewah seperti Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari, dan Porsche tidak memperbaharui cukai jalan
  • Maklumat pemilik, jenis kenderaan, dan tempoh cukai jalan yang tamat sudah tercatat dalam sistem JPJ
  • Walaupun melibatkan individu kenamaan, nama mereka tidak akan diumumkan untuk mengelakkan memalukan sesiapa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!