'Saya baru belajar wheelie bila tengok kawan buat'

Antara penunggang motosikal yang ditahan JPJ Selangor ketika operasi membanteras mat rempit di sekitar Dataran Shah Alam pada Ahad.
Antara penunggang motosikal yang ditahan JPJ Selangor ketika operasi membanteras mat rempit di sekitar Dataran Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanpa lesen memandu, rasa bangga melakukan aksi 'wheelie' konon mahu berseronok bersama rakan menjerat diri selepas ditahan pada Ahad.

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu hanya mampu terkedu selepas aksi berbahayanya itu dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang sedang melaksanakan Op Samseng Jalanan (Seksyen 42A) di sekitar Pandamaran, Klang.

Pelajar Tingkatan Empat itu mendakwa, dia yang membonceng kawan keluar berkumpulan bersama beberapa motosikal ditunggang rakan sebayanya.

"Kami gerak berlima (motosikal). Saya baru saja belajar aksi wheelie ini bila tengok kawan lain buat.

"Biasa kalau bawa motosikal ini memang akan wheelie," katanya dalam nada perlahan selepas menyedari kesalahan dilakukan ketika ditanya anggota operasi di sini.

Ahmad Kamarunzaman (kiri) meninjau keadaan motosikal yang disita menerusi Op Samseng Jalanan (Seksyen 42A) di Pejabat JPJ Selangor, Shah Alam pada Ahad.
Ahmad Kamarunzaman (kiri) meninjau keadaan motosikal yang disita menerusi Op Samseng Jalanan (Seksyen 42A) di Pejabat JPJ Selangor, Shah Alam pada Ahad.

Lebih malang, motosikal jenis Yamaha LC135 V8 milik kakaknya itu turut disita selain saman dikeluarkan atas beberapa kesalahan teknikal.

Selain itu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tanpa lesen memandu juga berdepan nasib sama apabila ditahan ketika membonceng sepupunya di Dataran Shah Alam.

"Saya tahu salah, tadi cuma cuba-cuba sahaja bawa motosikal bila dah sampai sini (Dataran Shah Alam)," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Op Samseng Jalanan ini digerakkan bermula jam 6 petang, Sabtu di sekitar Klang dan Shah Alam bagi membanteras kegiatan lumba haram, rempit serta aktiviti menduga kelajuan kenderaan di jalan raya di bawah Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menurutnya, operasi sehingga kira-kira jam 4 pagi, Ahad bertindak memeriksa 230 buah motosikal.

"Kita telah bertindak menyita 67 motosikal serta mengenal pasti 398 kesalahan.

"Antaranya ialah kesalahan teknikal (102 kes), tiada lesen memandu (48 kes), memandu bawah umur (18 kes), ubah suai ekzos (19 kes), tiada brek belakang (18 kes) serta nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (32 kes)," katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, sebanyak 541 notis dikeluarkan membabitkan notis saman (P) 22 (398 kes), notis arah periksa (38 kes), notis larangan penggunaan kenderaan (38 kes) serta notis sita (67 kes).

"JPJ menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja mempertaruhkan nyawa serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!