54,042 pelawat asing dikenakan Notis Penolakan Masuk - AKPS

Antara kes pelawat asing yang dikenakan NPM.
Antara kes pelawat asing yang dikenakan NPM.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 54,042 pelawat asing dari pelbagai negara dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) sejak tahun lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, statistik itu direkodkan sehingga Ogos tahun ini membabitkan semua pintu masuk di bawah kawalannya, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu, LTA Kuching, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta ICQS Bukit Kayu Hitam.

Menurut AKPS, daripada jumlah keseluruhan itu, 29,411 individu dikenakan NPM pada tahun lalu, manakala 24,631 individu lagi direkodkan setakat Ogos tahun ini.

"Antara sebab notis ini dikenakan terhadap warga asing ialah tidak memiliki pasport yang sah, tidak mempunyai visa yang sah mengikut Akta Pasport 1966 bagi negara yang memerlukan visa untuk memasuki Malaysia, selain tersenarai dalam senarai syak atau senarai hitam.

"Mereka juga gagal memenuhi syarat kemasukan seperti mempunyai tempahan penginapan, bukti kewangan yang mencukupi untuk menyara diri dan tiket pulang yang disahkan.

"Setiap modus operandi kemasukan warga asing ke negara ini sentiasa berada dalam pemantauan dan tindakan AKPS," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, tindakan NPM dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

AKPS berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan di lapangan terbang bagi memastikan kehadiran warga asing di kawasan terminal adalah untuk tujuan perjalanan atau penerbangan, sama ada transit ke negara asal, negara ketiga atau memasuki Malaysia.

"Kami sentiasa menjalankan pemantauan tanpa mengira masa. Kami tidak mahu warga asing yang mempunyai niat selain melancong ke Malaysia akhirnya melakukan kesalahan di negara ini dan dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Lambakan PATI boleh menjejaskan keseimbangan sosial dan ekonomi negara," katanya.

AKPS menegaskan pihaknya akan terus membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang hingga ke akar umbi serta melaksanakan proses saringan teliti (due diligence) bagi memastikan setiap pelancong yang memasuki negara ini merupakan pelancong tulen yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

"AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dari mana-mana negara yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang Malaysia," katanya.

Sebelum ini, laporan eksklusif Sinar Harian pada 12 Oktober lalu melaporkan sindiket penyeludupan migran semakin licik apabila dikesan menggunakan laluan transit antarabangsa berlapis untuk membawa masuk warga asing ke Malaysia, termasuk individu yang telah disenarai hitam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dilaporkan berkata, antara laluan yang digunakan ialah dari India atau Bangladesh ke KLIA sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan melalui Singapura atau Hat Yai, Thailand.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!