'Budak bawah umur merempit masuk pukat JPJ'

Ahmad Kamarunzaman (kiri) melihat keadaan motosikal yang disita kerana diubah suai bagi aktiviti samseng jalanan.
Ahmad Kamarunzaman (kiri) melihat keadaan motosikal yang disita kerana diubah suai bagi aktiviti samseng jalanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 26 penunggang motosikal bawah umur antara dicekup menerusi operasi khas perangi budaya rempit di seluruh Selangor dalam tempoh lapan hari sejak 15 November lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya memperhebat tindakan penguatkuasaan secara tegas dan menyeluruh terhadap kegiatan lumba haram, rempit serta aktiviti menduga kelajuan kenderaan di jalan raya menerusi pelaksanaan operasi khas di bawah Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menurutnya, Seksyen 42A yang berkuat kuasa mulai 16 Oktober lalu memperuntukkan kesalahan khusus bagi aktiviti berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya yang membolehkan tindakan undang-undang diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.

"Bagi sabitan kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan berulang, hukuman meningkat kepada denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas Op Samseng Jalanan (Seksyen 42A) di sini pada Ahad.

Beliau berkata, melalui modus operandi 'hit and run tactic' JPJ Selangor merekodkan enam kes di bawah Seksyen 42A(2) atas kesalahan menduga kelajuan serta melakukan aksi tunggangan berbahaya seperti mengangkat tayar hadapan, aksi superman dan menunggang secara berbahaya.

Tambahnya, sepanjang operasi, 111 motosikal disita hasil pemeriksaan 350 motosikal.

Katanya, sebanyak 634 kesalahan dikesan antaranya membabitkan tiada lesen memandu (84 kes), kesalahan teknikal (109 kes), cukai jalan tamat tempoh (53 kes) serta ubah suai ekzos (52 kes).

"Selain itu, seramai 26 penunggang bawah 16 tahun turut dikesan, manakala dua kes di bawah Seksyen 108(3)(e) melibatkan penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan turut direkodkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja mempertaruhkan nyawa serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berfokus, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan lumba haram bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dikenakan tindakan tegas dan sewajarnya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!