Tiga graduan OKU mahu jadi inspirasi buat rakan senasib

KUALA NERUS -Tiga graduan orang kurang upaya (OKU) membuktikan bahawa kekurangan dimiliki bukan halangan bagi mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang sekali gus menjadi pencetus inspirasi kepada rakan-rakan yang lain.
Ketiga-tiga mereka diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Selasa.
Antara yang mencuri perhatian ialah Wan Muhammad Danial Wan Nazaruddin, 21, dari Kolej Komuniti Temerloh, yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda akibat penyakit saraf dialami sejak kecil.
Beliau menerima Anugerah Pengarah selepas mencatat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Mata (PNM) konsisten termasuk 4.00 pada semester akhir.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, kejayaan tersebut merupakan hadiah buat ibu bapa serta inspirasi kepada rakan senasib agar tidak mudah berputus asa dengan setiap kekurangan dialami.

"Setiap cabaran ada jalannya. Walaupun keadaan fizikal saya berbeza, saya mahu buktikan tiada yang mustahil asalkan kita berusaha.
"Saya mahu kejayaan ini menjadi inspirasi kepada golongan OKU supaya bangkit dan tidak putus asa. Saya mungkin duduk di kerusi roda tapi impian saya untuk berdiri tinggi.
"Tiada yang mustahil sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh," katanya yang kini melanjutkan pengajian ke Politeknik Muadzam Shah dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat.
Wan Muhammad Danial mengakui cabaran kehidupan harian di kampus menuntut ketabahan fizikal dan mental yang tinggi.
Namun katanya, dia bertuah kerana mempunyai seorang rakan karib, Mohamad Iskandar Shah Amiruddin, 21, yang sentiasa membantunya sepanjang tempoh pengajian.
"Iskandar banyak bantu saya, dari tolak kerusi roda ke kelas, ambilkan makanan dan bersama - sama menyiapkan tugasan,"katanya.
Turut diraikan pada majlis konvokesyen itu, dua graduan berkeperluan khas (masalah pembelajaran) dari Kolej Komuniti Raub, iaitu Muhammad Daniel Hakeem Abdullah dan Nur Imadudin Zikry Mohd Reslee, yang masing-masing menerima Sijil Asas Jahitan Kreatif.
Kedua-dua mereka bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian.
"Kami bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ini dan berharap agar dapat menerokai peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.
"Semoga dengan kejayaan ini ia menjadi pencetus semangat kepada kami untuk berusaha lebih lagi pada masa akan datang," katanya.
Secara keseluruhan seramai 652 graduan Kolej Komuniti Pahang menerima sijil pada sidang ketujuh konvokesyen tersebut yang berlangsung pada Selasa.
Ringkasan AI
- Tiga graduan OKU mencapai kejayaan cemerlang dan menjadi inspirasi
- Diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025
- Wan Muhammad Danial bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda menerima Anugerah Pengarah dengan PNM cemerlang
- Muhammad Daniel Hakeem Abdullah dan Nur Imadudin Zikry Mohd Reslee berkeperluan khas menerima Sijil Asas Jahitan Kreatif
- Seramai 652 graduan Kolej Komuniti Pahang diraikan pada sidang ketujuh konvokesyen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
