Bantuan SARA jadi modal buat kek, mahasiswi untung ratusan ringgit

Azreeqa Adzreen menunjukkan kek batik indulgence yang dibuatnya.
Azreeqa Adzreen menunjukkan kek batik indulgence yang dibuatnya.
A
A
A

SHAH ALAM – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 dimanfaatkan seorang mahasiswi sebagai modal perniagaan kecilnya ketika cuti semester dengan membeli bahan asas untuk membuat kek batik indulgence.

Menurut ibunya, Farrah Heeda Abd Ghaffar, 47, anak keduanya, Azreeqa Adzreen Mohd Kamanorhisham, 22, tidak pernah duduk diam ketika cuti panjang dan sering mencari pengalaman di bakeri atau menerima tempahan daripada kenalan.

“Ika, pelajar Diploma Pastri dan Bakeri di Food Institute of Malaysia, Petaling Jaya, sudah lama membuat kek batik dan tiramisu secara kecil-kecilan setiap kali cuti belajar.

“Kebiasaannya, kalau cuti panjang dia memilih bekerja di bakeri, manakala jika cuti singkat dia membuat pencuci mulut (dessert) sendiri. Kali ini, dia mahu mencuba resipi indulgence dan menggunakan duit SARA untuk membeli bahan asas seperti Milo, biskut Marie dan susu,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara barangan yang dibeli oleh Azreeqa Adzreen menggunakan wang sumbagan SARA.
Antara barangan yang dibeli oleh Azreeqa Adzreen menggunakan wang sumbagan SARA.

Farrah Heeda berkata, kos lain seperti bekas kek dan coklat ditambah sendiri olehnya bagi menyokong usaha anak perempuannya itu.

“Hasilnya, dia dapat menghasilkan sekitar 90 bekas kek batik indulgence. Semuanya habis dijual dengan harga RM10 sebekas dan dia memperoleh pulangan kira-kira RM350,” ujarnya.

Selain kek batik, katanya, Ika juga mengambil tempahan brownies dan tiramisu secara kecil-kecilan, semuanya dibuat di rumah dengan jadual fleksibel sepanjang cuti semester yang bermula Ogos hingga Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Farrah Heeda berkata, sambutan pelanggan amat menggalakkan sehingga anaknya turut menerima tempahan brownies istimewa untuk cucu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas kisah itu dikongsi di media sosial, permintaan terhadap produknya meningkat dan ada pihak tampil menyumbang chiller atau peti sejuk komersial bagi membantu urusan penyimpanan.

Menurut Farrah Heeda, anaknya berhasrat membuka kafe sendiri suatu hari nanti, dan perniagaan kecil ini menjadi latihan awal untuk mencapai cita-cita tersebut.

“Bagi saya, kisah ini menunjukkan walaupun jumlah bantuan tidak besar, jika pandai digunakan ia boleh menjadi modal berguna untuk anak muda terus berniaga dan berdikari,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Mahasiswi gunakan bantuan SARA RM100 sebagai modal perniagaan kek batik indulgence
  • Azreeqa Adzreen, pelajar Diploma Pastri dan Bakeri, sudah lama berkecimpung dalam perniagaan memasak kek dan tiramisu
  • Duit SARA digunakan untuk membeli bahan asas pembuatan kek
  • Hasil jualan kek batik indulgence mencapai RM350 daripada 90 bekas yang dijual
  • Anak Farrah Heeda ini berambisi membuka kafe sendiri sebagai langkah awal mencapai cita-cita

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!