FedEx giat inisiatif kelestarian dengan 41 van elektrik baharu

Van elektrik FedEx dirakam berlatarbelakangkan mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur, Putrajaya, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor menandakan pelancaran perluasan armada EV syarikat itu di peringkat nasional.
Van elektrik FedEx dirakam berlatarbelakangkan mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur, Putrajaya, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor menandakan pelancaran perluasan armada EV syarikat itu di peringkat nasional.
A
A
A

FEDERAL Express Corporation (FedEx), salah satu syarikat pengangkutan ekspres terbesar di dunia menggiatkan komitmen terhadap logistik mampan di Malaysia dengan menampilkan 41 van elektrik Maxus e-Deliver 3 yang baharu.

Setiap van menawarkan kapasiti muatan 920 kilogram dan jarak anggaran sehingga 228 kilometer dengan sekali cas penuh.

Secara keseluruhan, kenderaan itu dianggarkan dapat mengelakkan kira-kira 305 metrik tan pelepasan CO₂ ekzos setahun berbanding van berkuasa diesel yang digantikannya.

Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Tien Long Woon berkata, selepas pengenalan dua kenderaan elektrik (EV) pertama di Lembah Klang pada Mei 2023, syarikat menjadi perintis penghantaran EV rentas sempadan pertama Malaysia ke Singapura pada Februari 2024 sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records.

“Kejayaan penghantaran EV rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura tahun lalu telah mengukuhkan keyakinan kami terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh kenderaan elektrik dalam sektor logistik.

“Justeru, peluasan armada EV terbaharu ini merupakan satu langkah bermakna ke hadapan dalam mengintegrasikan kelestarian ke dalam operasi harian kami.

"Ia turut mencerminkan keyakinan bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh bergerak seiring, dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha kolektif ke arah masa depan rendah karbon di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Long Woon, kenderaan elektrik baharu itu akan digunakan bagi perkhidmatan pengambilan dan penghantaran bungkusan di bandar-bandar utama Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Bagi menyokong armada tersebut, FedEx turut memasang 41 stesen pengecas arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC) di lokasi strategik seluruh negara pada awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, langkah itu merupakan detik penting dalam perjalanan kelestarian syarikat di Malaysia.

“Ia menyokong matlamat FedEx untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2040 serta memiliki armada pengambilan dan penghantaran serba elektrik pada tahun yang sama.

“Peluasan armada EV ini turut menyokong misi Low Carbon Mobility Blueprint Malaysia (2021–2030) dan sejajar dengan objektif lebih luas Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) yang mengutamakan pertumbuhan hijau sebagai landasan kemajuan ekonomi, peningkatan kecekapan sumber dan kelestarian alam sekitar jangka panjang,” katanya.

Selain elektrifikasi kenderaan, FedEx turut memperkasakan pelanggan untuk mengurangkan pelepasan rantaian bekalan mereka melalui FedEx® Sustainability Insights, iaitu alat pelaporan karbon berasaskan awan yang memberikan akses kepada data pelepasan sejarah daripada penghantaran layak dalam rangkaian FedEx.

Maklumat ini membolehkan pelanggan membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data bagi mengoptimumkan strategi penghantaran mereka dengan mengambil kira objektif kelestarian.

Pada masa sama, usaha ini melengkapi inisiatif kelestarian FedEx yang lebih menyeluruh untuk mengurangkan pelepasan di seluruh rangkaian global syarikat termasuk operasi udara.

Ringkasan AI

  • FedEx memperkenalkan 41 van elektrik Maxus e-Deliver 3 di Malaysia
  • Van-van ini dapat mengelakkan kira-kira 305 metrik tan pelepasan CO₂ setahun
  • FedEx menjadi perintis penghantaran EV rentas sempadan pertama Malaysia ke Singapura
  • Van-van elektrik akan digunakan di bandar-bandar utama termasuk Kuala Lumpur dan Johor Bahru
  • FedEx memasang 41 stesen pengecas di lokasi strategik di seluruh negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!