Menara Merdeka 118 diiktiraf MD Nexus pertama Malaysia

KUALA LUMPUR - Perasmian Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia membuktikan kebersediaan infrastruktur negara dalam memacu agenda ekonomi digital sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab digital serantau.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif MD Nexus diwujudkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dengan mengiktiraf lokasi strategik yang bersedia menempatkan perniagaan dan inovasi digital.
"Pelancaran Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pelaburan, menyokong perusahaan digital serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital yang berdaya saing di peringkat serantau," katanya pada majlis perasmian di Park Hyatt, Menara Merdeka 118 pada Rabu.

Terdahulu, pengiktirafan MD Nexus ini diberikan di bawah Inisiatif Pengiktirafan Lokasi MD oleh Kementerian Digital dan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang mengiktiraf lokasi strategik yang dibangunkan khusus bagi menyokong perniagaan digital, perkhidmatan serta inovasi.
Ujarnya, keberadaan Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina satu ekosistem kondusif yang turut membangunkan kawasan persekitarannya.
"Kita perlu melihat bagaimana untuk menggalakkan perniagaan dan syarikat sekitar yang kebanyakannya telah beralih dari perniagaan tradisional kepada digital untuk sama-sama menyertai inisiatif ini.
"Terletak di lokasi strategik di tengah Kuala Lumpur, ia boleh menjadi tarikan utama kepada pelabur yang berminat untuk membuka perniagaan dan pejabat di sini," katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 50 bangunan syarikat dikatakan turut berminat untuk mengambil bahagian dalam status MD Nexus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Ibrahim berkata, pengiktirafan sebagai MD Nexus pertama Malaysia menegaskan peranan Menara Merdeka 118 sebagai lebih daripada sekadar pembangunan mercu tanda.
"Ia mencerminkan tumpuan kami dalam mewujudkan persekitaran berkualiti tinggi dan bersepadu yang menyokong serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan digital Malaysia.
"Pada masa sama, pembangunan ini menunjukkan bagaimana sebuah hab digital moden boleh wujud secara harmoni dengan warisan berteraskan ikon nasional seperti Stadium Merdeka.
"Kami komited menjadikan Merdeka 118 sebagai destinasi global menjelang 2026 bagi perniagaan dan inovasi. Ini akan menjadi lokasi pilihan syarikat multinasional untuk membina dan mengembangkan operasi mereka dengan sokongan presint yang saling berhubung serta berdaya huni," katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, MD Nexus ialah langkah strategik merealisasikan visi ekonomi digital Malaysia melalui persekitaran sebenar yang sedia menerima pelaburan.
"Pelantikan Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia membuktikan kesediaan digitalnya yang kukuh daripada infrastruktur dan rangkaian yang berdaya tahan, hinggalah kepada ekosistem yang aktif menyokong bakat, inovasi dan pengembangan perniagaan.
"Pengiktirafan ini membolehkan syarikat digital terus beroperasi dalam sebuah lokasi berorientasikan masa hadapan, yang memudahkan pertumbuhan, kerjasama serta penciptaan nilai jangka panjang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang kompetitif," katanya.
Dalam pada itu, hasil kajian daripada Malaysia as a Regional Digital Economy Gateway, sebuah kertas putih yang dijalankan bersama Knight Frank Malaysia dan MDEC menunjukkan ekonomi digital Malaysia kini memasuki fasa yang lebih selektif dan berteraskan kualiti.
Kajian mendapati bahawa antara separuh kedua tahun 2022 hingga separuh kedua tahun 2025 sebanyak RM342.6 bilion pelaburan digital telah diluluskan, menyokong hampir 115,000 peluang pekerjaan dengan 97 peratus daripadanya diklasifikasikan sebagai pekerjaan berasaskan pengetahuan.
Seiring dengan peningkatan skala aktiviti digital, kajian ini menekankan kepentingan kesiapsiagaan digital, pensijilan dan tadbir urus di peringkat bangunan dalam membentuk keputusan penyewa dan pelabur.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi, peralihan ke arah pasaran yang lebih selektif ini dapat dilihat melalui cara syarikat digital asing menubuhkan jejak operasi mereka dengan sebahagian besar memilih persekitaran pejabat yang dibangunkan secara khusus.
"Memandangkan spesifikasi bangunan dan tahap kesiapsiagaan infrastruktur semakin memainkan peranan penting dalam menentukan lokasi dan pengembangan perniagaan digital, penetapan titik rujukan yang lebih jelas di bawah rangka kerja Malaysia Digital Location Recognition (MDLR) membantu mewujudkan penilaian yang lebih konsisten terhadap kesesuaian premis perniagaan," katanya.
Pengiktirafan sebagai MD Nexus pertama Malaysia ini mengukuhkan lagi kedudukan Menara Merdeka 118 sebagai tempat kerja masa hadapan yang disokong teknologi dan infrastruktur digital bertaraf tinggi.
Ringkasan AI
- Menara Merdeka 118 dirasmikan sebagai MD Nexus pertama Malaysia, memacu agenda ekonomi digital negara
- Menteri Digital menyatakan, inisiatif MD Nexus menyokong pertumbuhan ekonomi digital melalui lokasi strategik
- Pengiktirafan MD Nexus diberi oleh Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
- Menara Merdeka 118 diharap dapat membangunkan ekosistem digital serta membangunkan kawasan sekitarnya
- MD Nexus merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

