Pengurusan lembangan sungai diutamakan hadapi La Nina - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah ketika sidang media pada Majlis Perasmian The 6th International Conference on Water Resources (ICWR 2025) di sebuah hotel. Foto Bernama
Akmal Nasrullah ketika sidang media pada Majlis Perasmian The 6th International Conference on Water Resources (ICWR 2025) di sebuah hotel. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memberi keutamaan kepada pengurusan lembangan sungai atau river basin sebagai langkah mitigasi banjir bagi menghadapi kemungkinan fenomena La Nina pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia termasuk pembangunan infrastruktur seperti Rancangan Tebatan Banjir dan sistem pemantauan serta amaran awal.

"Dari segi perancangan untuk menyelesaikan masalah banjir, sudah pasti ia melibatkan pengurusan lembangan ataupun basin itu sendiri.

"Perkara ini yang dititikberatkan PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam jangka masa terdekat. Kami sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Sumber Air Antarabangsa ke-6 (ICWR 2025) di sini pada Selasa.

Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025 hingga awal tahun 2026 yang berpotensi menjejaskan corak taburan hujan negara.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan Sabtu lepas memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) ketika ini berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan hingga Oktober depan.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan berkenaan, Akmal Nasrullah berkata, kesiapsiagaan bencana turut melibatkan pengurusan keutamaan penyelenggaraan serta dana kecemasan di kawasan kritikal.

"Untuk memastikan kerja-kerja kecemasan, terutamanya dalam persediaan menghadapi bencana, terdapat kawasan tertentu yang perlu diberi keutamaan dari segi penyelenggaraan.

"Oleh itu, dengan mengambil kira segala kekangan yang ada pertimbangan akan dibuat bagi menentukan agensi manakah yang perlu diutamakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk dalam urusan bajet dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk pemain industri bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada isu pengurusan air dan banjir di negara ini

"Kita perlu meningkatkan minat dan peluang untuk penglibatan pihak swasta, khususnya yang mempunyai kepakaran dan teknologi dan saya rasa ia merupakan insentif yang agak baik untuk industri berkembang serta membuka pintu kepada pelaburan," katanya.

Akmal Nasrullah pada Selasa merasmikan ICWR 2025 yang menghimpunkan pakar, pihak berkepentingan serta pembuat dasar bagi membincangkan isu pengurusan sumber air yang kian meruncing seperti banjir, kemarau dan pencemaran sungai di Malaysia. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan memberi keutamaan kepada pengurusan lembangan sungai sebagai langkah mitigasi banjir
  • Akmal Nasrullah berkata termasuk pembangunan infrastruktur seperti Rancangan Tebatan Banjir
  • Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina pada awal musim sejuk 2025 hingga awal tahun 2026
  • Terdapat kawasan tertentu yang perlu diberi keutamaan dari segi penyelenggaraan dan dana kecemasan
  • Akmal Nasrullah menyeru kerjasama semua pihak, termasuk industri dalam pengurusan air dan banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!