Nelayan dakwa aplikasi MyMinyak rumit, mohon tangguh pelaksanaan

Ricky (dua dari kanan, barisan depan) dan Mohd Salleh (tiga dari kiri) ketika ditemui di Kuala Kedah pada Selasa.
Ricky (dua dari kanan, barisan depan) dan Mohd Salleh (tiga dari kiri) ketika ditemui di Kuala Kedah pada Selasa.
A
A
A

KUALA KEDAH - Aplikasi mudah alih MyMinyak yang diperkenalkan bagi urusan pembelian diesel bersubsidi kepada nelayan didakwa rumit selain sistem baharu itu dikatakan tidak mesra pengguna.

Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Negeri Kedah, Ricky Ooi berkata, kira-kira 500 pemilik bot pelbagai kelas berdepan kesulitan sejak aplikasi itu mula digunakan tiga hari lalu.

Menurutnya, antara masalah utama dihadapi ialah proses transaksi terlalu lama sebelum pembelian minyak bersubsidi dapat dilakukan, selain tiada sebarang taklimat atau kursus diberikan kepada nelayan sebelum pelaksanaannya.

“Bagi pemilik bot berusia 60 hingga 70 tahun, sukar untuk mereka memahami tatacara penggunaan aplikasi ini kerana perlu memuat naik pelbagai dokumen termasuk gambar swafoto ketika membuat pengesahan pembelian.

“Kami tidak bantah penambahbaikan kerana mungkin ia berkesan mengatasi ketirisan dan penyelewengan, cuma kami mohon ia ditangguh dahulu kerana masih ramai nelayan tidak faham cara menggunakan aplikasi ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau bersama kira-kira 30 pemilik bot nelayan hadir ke Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kedah bagi membincangkan isu berkenaan yang dipercayai akan menggantikan penggunaan peranti pembantu digital peribadi (PDA) sebelum ini.

Ricky berkata, nelayan tidak dimaklumkan lebih awal sebagai persediaan sebelum dikuat kuasakan aplikasi baharu, selain mencadangkan agar diberikan jangkaan tempoh sebelum pelaksanaannya.

“Kami kadang tidak dapat turun ke laut, ada yang lewat sebab tunggu lama untuk isi minyak.

"Kalau tak isi minyak, macam mana nak turun ke laut. Kalau sudah isi minyak pun, air laut sudah surut, tak boleh jalan juga.

Artikel Berkaitan:

“Bukan kami tak nak terima pembaharuan, cuma mohon permudahkan proses tersebut sebab banyak sangat langkah perlu diikuti,” jelasnya.

Tambahnya lagi, masalah lain termasuk pusat jualan diesel hanya bertumpu di LKIM dan menyebabkan nelayan tiada pilihan dan terpaksa menunggu giliran mengisi minyak.

“Di bawah persatuan nelayan, tidak boleh ambil diesel di tempat lain, hanya di LKIM.

"Apabila 200 buah bot mahu mengisi minyak diesel di satu tempat sahaja, ia agak menyukarkan,” katanya.

Sementara itu, wakil pengusaha bot pukat tunda Kuala Kedah, Sukri Taib mencadangkan agar sistem e-Pengisytiharan LKIM dikekalkan bagi memudahkan pemilik bot mendapatkan diesel bersubsidi.

“Dengan cara itu, selepas nelayan kemukakan resit hasil tangkapan dan kad pengenalan, terus boleh beli minyak.

“Kaedah baharu tersebut melambatkan proses kerana terlalu banyak langkah perlu diikuti hanya untuk satu transaksi, apatah lagi warga emas yang memang tidak tahu guna aplikasi,” ujarnya.

Menurutnya, situasi itu boleh menjejaskan jadual nelayan untuk turun ke laut yang banyak bergantung pada pasang surut air laut.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin bersetuju agar sistem tersebut ditangguhkan buat sementara waktu memandangkan banyak rungutan diterima daripada nelayan setempat.

“Saya difahamkan negeri-negeri lain belum laksanakan lagi sistem ini. Mengapa Kuala Kedah terburu-buru menggunakannya? Lebih baik tangguh dan tambah baik sistem sebelum diaplikasikan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, kelewatan akibat penggunaan aplikasi tersebut menyukarkan nelayan melakukan aktiviti harian mereka.

“Nelayan mohon ditangguh dahulu kerana sistem itu menyusahkan mereka untuk mengisi minyak (diesel) sebelum turun ke laut.

"Pelbagai cadangan telah diberikan kepada pengurusan LKIM dan kita mohon ditangguhkan sehingga penambahbaikan dilakukan.

“Kita bukan menolak sebarang penambahbaikan tetapi berharap penambahbaikan yang dilakukan biarlah lebih baik berbanding sistem sedia ada, agar lebih cepat dan mudah,” katanya.

Ringkasan AI

  • Aplikasi MyMinyak untuk pembelian diesel bersubsidi kepada nelayan dianggap rumit dan tidak mesra pengguna
  • Kira-kira 500 pemilik bot nelayan berdepan kesulitan sejak aplikasi digunakan
  • Pemilik bot tua sukar memahami tatacara aplikasi kerana proses yang rumit
  • Nelayan menghadapi kelewatan dalam pembelian diesel, mengganggu aktiviti harian mereka
  • Cadangan untuk menangguhkan sistem baru ini sementara waktu hingga ia diperbaiki

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!