DPMM gesa tangguh pelaksanaan duti setem kontrak pekerjaan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan duti setem ke atas kontrak pekerjaan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Setem 1949 sehingga satu kajian semula dan pembaharuan menyeluruh terhadap akta berkenaan dilaksanakan.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, penguatkuasaan Rangka Kerja Audit Duti Setem oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Januari 2025 menimbulkan pelbagai kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan pemain industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.
“Tindakan ini disifatkan tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh serta tidak mengambil kira suara dan keluhan golongan peniaga,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai dasar seperti rasionalisasi subsidi petrol, kenaikan gaji minimum, sistem taksiran kendiri menjelang 2026, serta e-Invois dan MBRS 2.0, sudahpun memberikan tekanan besar terhadap komuniti perniagaan – baik dari sudut kos operasi mahupun pematuhan peraturan.
“Sentimen terhadap Ekonomi Madani boleh terjejas sekiranya pihak berkuasa terus menggubal dasar tanpa melibatkan pemain industri secara bermakna,” tambahnya.
DPMM turut mempersoalkan pelbagai isu teknikal berkait duti setem, antaranya penalti RM100 atau 20 peratus daripada duti jika kontrak tidak disetem dalam tempoh 30 hari hingga tiga bulan, serta kekeliruan definisi kontrak yang dikenakan duti termasuk kontrak jangka pendek, pekerja asing dan surat tawaran pelatih.
“Kontrak pekerjaan hari ini sudah tertakluk di bawah Akta Pekerjaan 1955, dan Mahkamah Malaysia juga memutuskan bahawa kekurangan setem bukanlah satu kecacatan undang-undang. Maka keperluan untuk penyeteman wajib perlu dikaji semula,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kadar pengecualian gaji RM300 ke bawah sebagai tidak realistik dan sudah lapuk, kerana tidak mencerminkan struktur pasaran buruh masa kini.
DPMM menyambut baik pendekatan LHDN untuk menggalakkan pematuhan melalui pendidikan dan bukan hukuman, namun menegaskan bahawa pendekatan ini perlu dilaksanakan dengan lebih mendalam melalui kerjasama dewan-dewan perniagaan negeri.
“Berdasarkan pengalaman terdahulu seperti pelaksanaan GST dan e-Invois, kami dapati kegagalan libat urus menyumbang kepada keengganan peniaga untuk mendaftar dan mematuhi peraturan,” katanya.
DPMM berharap dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan dan LHDN untuk mencari penyelesaian yang lebih seimbang dan mengambil kira realiti PMKS tempatan, selain menyeru supaya pelaksanaan duti setem ke atas kontrak pekerjaan ditangguhkan dahulu sehingga Akta Setem 1949 disemak dan ditambah baik.
“Kami tidak mahu niat kerajaan menambah baik tatakelola korporat disalah tafsir sebagai usaha memaksimakan kutipan hasil,” ujarnya lagi.
Sebagai langkah ke hadapan, DPMM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menganjurkan program pendidikan dan kesedaran di seluruh negara agar lebih banyak syarikat bersedia untuk mematuhi dasar secara lestari.
Ends
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

