Penggunaan MyKad terbukti berkesan, tiada sistem baharu diperlukan

BALIK PULAU – Kerajaan menegaskan bahawa sistem sedia ada menggunakan MyKad masih mencukupi untuk memastikan kelayakan rakyat terhadap pelbagai bantuan dan subsidi, tanpa keperluan memperkenalkan kad atau sistem baharu.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penggunaan MyKad yang kini melibatkan kira-kira 9 juta rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah membuktikan keberkesanannya.
“Walaupun terdapat isu keselamatan, MyKad telah digunakan dengan baik. Tidak perlu kita wujudkan sistem atau kad baharu.
“Setiap rakyat akan menjaga MyKad mereka dengan baik kerana ia merupakan kunci kepada pelbagai kelayakan bantuan. Tanpa MyKad, seseorang tidak dapat mengakses manfaat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Betong, di sini.
Amir Hamzah sebelum itu menghadiri Sesi Libat Urus Kampung Angkat Madani Pulau Betong, pada Isnin.
Sabtu lalu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, dilaporkan berkata terdapat risiko keselamatan sekiranya kerajaan meneruskan penggunaan MyKad untuk melaksanakan program subsidi minyak bersasar.
Beliau yang juga bekas Ketua Publisiti DAP menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan MyKad di stesen minyak secara terbuka yang dikhuatiri mendedahkan pengguna kepada risiko kehilangan dokumen pengenalan diri di tempat awam.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, memiliki MyKad bukan sahaja memudahkan rakyat menerima bantuan, malah meningkatkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
“Apabila seseorang memiliki MyKad, ia bukan sekadar kad pengenalan, tetapi simbol identiti dan hak sebagai warganegara. MyKad itu berharga kerana ia menghubungkan pelbagai manfaat dan sistem lain.
“Kita mahu, apabila seseorang itu memiliki MyKad, dia merasa bangga. Ini kerana MyKad itulah yang menjadi kunci kepada kelayakan yang ada padanya. Kalau tiada MyKad, dia tidak dapat subsidi,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan menggunakan proses sedia ada serta mematuhi peraturan keselamatan sistem IT bagi memastikan data rakyat dilindungi sepenuhnya.
Program BUDI95, jelasnya, hanya terpakai kepada rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu sah. Namun, individu yang memandu kenderaan berdaftar asing tidak layak menerima subsidi.
“Walaupun mereka menggunakan MyKad, jika kenderaan didaftarkan di Singapura atau Thailand, mereka tetap tidak layak guna RON95. Mereka hanya dibenarkan guna RON97,” katanya.
Mengulas mengenai had 300 liter sebulan bagi setiap individu, beliau menjelaskan bahawa kajian telah dijalankan dan mendapati kuantiti itu mencukupi untuk kegunaan harian, termasuk bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja.
“Kita dapati individu yang berulang-alik bekerja, seperti dari Seremban ke Kuala Lumpur, hanya menggunakan sekitar 170 liter sebulan. Jadi, had 300 liter adalah mencukupi,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan berkuat kuasa pada 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara adil kepada pengguna yang layak serta mengelakkan ketirisan.
Ringkasan AI
- Kerajaan menegaskan sistem MyKad masih efektif untuk mengagihkan bantuan tanpa perlu sistem baru
- MyKad telah membantu kira-kira 9 juta rakyat menerima Sumbangan Tunai Rahmah
- Walaupun ada isu keselamatan, kerajaan menekankan MyKad penting sebagai akses kepada bantuan
- Amir Hamzah menyinggung rasa bangga memiliki MyKad yang simbol identiti dan hak warganegara
- Subsidi petrol RON95 dibatasi kepada 300 liter sebulan untuk individu layak dan tidak terpakai kepada kenderaan asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

