Peniaga warga asing Lorong Haji Taib bertempiaran lari lepas nampak imigresen

KUALA LUMPUR - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berniaga pakaian terpakai di Lorong Haji Taib di sini bertempiaran lari meninggalkan gerai masing-masing biar pun sedang melayan pelanggan selepas menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Serbuan itu dijalankan JIM Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin.
Seorang peniaga tempatan dikenali Rosni, 61 berkata, rata-rata warga asing di kawasan itu menjual barangan seperti pakaian terpakai dan aksesori menggunakan permit orang tempatan secara ‘ali baba’.
“Bagus, saya sokong, angkut semua, mereka (warga asing) monopoli semua perniagaan. Mereka (warga asing) jadi tauke bukan pekerja. Semua dia sapu.
“Kalau dua tapak dia sewa senang-senang dalam RM1,000 sebulan, orang kita juga lah yang bagi sewa, bila ditegur dia kata tak minta duit kita," katanya ketika ditemui di lokasi di sini.
Sinar Harian yang mengikuti operasi itu mendapati deretan gerai di lorong terbabit 'kosong' tanpa ada pekerja, hanya segelintir peniaga warga tempatan sahaja berada di gerai selepas serbuan terbabit.
Sementara itu Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dua serbuan dijalankan pihaknya menerusi Op Kutip di Lorong Haji Taib dan Op Selera di sebuah restoran di Bandar Manjalara Kepong bermula jam 8 malam.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 27 individu diperiksa.
“Hasilnya seramai 12 PATI termasuk seorang wanita ditahan terdiri daripada lapan Bangladesh, India (1), Pakistan (1) dan Indonesia (2).
"Kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Sementara itu, pada hari sama JIM Kuala Lumpur menerusi Op Kutip menyerbu sebuah hotel di sini pada jam 12 tengahari dan menahan 26 disyaki PATI termasuk 13 wanita.
"Tangkapan warga asing ini terdiri daripada 13 Bangladesh, Indonesia (12) dan seorang Nepal.
"Turut ditahan dua warga tempatan merupakan majikan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pendatang asing tanpa izin lari saat Jabatan Imigresen Malaysia serbu gerai pakaian terpakai di Lorong Haji Taib
- Serbuan ini dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Isnin
- Peniaga tempatan mengadu warga asing menggunakan permit orang tempatan secara 'ali baba' dan monopoli perniagaan
- Dua operasi serbuan dilakukan di Lorong Haji Taib dan sebuah restoran di Bandar Manjalara Kepong, 27 individu diperiksa
- Secara keseluruhan 12 PATI ditahan termasuk dalam serbuan di sebuah hotel di mana 26 disyaki PATI termasuk 13 wanita ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
