'Warga asing jadi tauke, semua disapu'

Operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Haji Taib bagi menangani penyalahgunaan permit perniagaan oleh pendatang asing.
Operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Haji Taib bagi menangani penyalahgunaan permit perniagaan oleh pendatang asing.
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Mereka (warga asing) jadi tauke bukan pekerja".

Demikian dakwaan peniaga tempatan yang menyuarakan rasa kecewa terhadap dominasi warga asing tanpa izin berniaga di sekitar Lorong Haji Taib di sini.

Peniaga tersebut yang mahu dikenali sebagai Rosni, 61, berkata, kebanyakan warga asing di kawasan itu bukan sahaja menjual pakaian terpakai dan aksesori, malah didakwa menyewa tapak berniaga menggunakan permit milik rakyat tempatan secara ‘Ali Baba’.

“Bagus, saya sokong, angkut semua. Mereka (warga asing) monopoli  perniagaan. Mereka jadi tauke, bukan pekerja. Semua dia sapu.

“Kalau dua tapak dia sewa, senang-senang dalam RM1,000 sebulan. Orang kita juga yang bagi sewa. Bila ditegur, dia kata tak minta duit kita,” katanya ketika ditemui semasa serbuan pihak berkuasa pada Isnin.

Operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Haji Taib bagi menangani penyalahgunaan permit perniagaan oleh pendatang asing.

Sinar Harian yang turut mengikuti operasi tersebut mendapati sebahagian besar gerai menjadi kosong apabila warga asing melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Hanya sebilangan kecil peniaga tempatan masih berada di tapak masing-masing.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, seramai 27 individu diperiksa dalam dua operasi berasingan iaitu Op Kutip di Lorong Haji Taib dan Op Selera di sebuah restoran di Bandar Manjalara, Kepong.

Artikel Berkaitan:

“Hasilnya, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita ditahan.

"Mereka terdiri daripada lapan warga Bangladesh, seorang India, seorang Pakistan dan dua warga Indonesia.

“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya lagi, operasi turut dijalankan di sebuah hotel di ibu negara pada jam 12 tengah hari hari yang sama, yang menyaksikan seramai 26 individu disyaki PATI ditahan, termasuk 13 wanita.

“Tangkapan melibatkan 13 warga Bangladesh, 12 warga Indonesia dan seorang warga Nepal. Turut ditahan ialah dua warga tempatan dipercayai majikan kepada PATI berkenaan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Warga asing tanpa izin dominasi perniagaan di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur sebagai tauke, bukan pekerja
  • Peniaga tempatan kecewa, dakwa warga asing sewa tapak perniagaan secara 'Ali Baba'
  • Jabatan Imigresen Malaysia dan DBKL jalankan operasi bersepadu di Lorong Haji Taib
  • Seramai 27 individu diperiksa, 12 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi
  • Operasi juga tangkap 26 syak PATI lain di sebuah hotel, termasuk 13 wanita

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!