Tragedi langgar lari: 3 bulan bertarung, anggota polis kini kaku tanpa suara di rumah

SEREMBAN – Hidup seorang anggota polis berubah sekelip mata apabila separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari tiga bulan lalu.
Malah sejak kejadian itu, Mohd Fairus Khamis, 42, yang bertugas di Balai Polis Rahang kini hanya terbaring kaku tanpa suara di rumah.
Isterinya, Rozalina Jaafar, 39, berkata, suaminya baharu dua minggu dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga bulan dirawat di Wad Hospital Tuanku Ja’afar di sini.
"Keadaan suami seperti berada dalam dunia sendiri, tiada sebarang pergerakan, hanya matanya saja yang ada ketikanya berkelip.
“Saya pun tak pasti sama ada dia boleh dengar apa yang kita cakap atau tidak kerana tiada apa-apa tindak balas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, tragedi pada 2 Jun lalu mengakibatkan kepala suaminya mengalami pendarahan teruk sehingga separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Jelasnya lagi, sepanjang di hospital, suaminya menjalani lima pembedahan di kepala bagi mengeluarkan cecair.
“Kalau ikut kata doktor, sukar untuk suami sembuh seperti dahulu kerana dia mengalami kecederaan teruk di kepala.
“Tapi saya tak putus berdoa dan mengharapkan keajaiban daripada ALLAH SWT,” katanya.

Paling membuatkan hati Rozalina sayu apabila dua anak lelakinya yang berusia 11 dan empat tahun sering bertanya bila ayah mereka akan sedar.
Bagaimanapun, ujarnya, kedua-dua mereka kini sudah mula memahami keadaan bapa mereka yang sakit.
“Saya selalu minta mereka doakan ayah cepat sembuh dan sekarang saya masih bercuti untuk menjaga suami.
“Sebenarnya kami merancang untuk mengubah suai rumah kerana baru beberapa bulan berpindah ke rumah sendiri, tapi nampaknya ia terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Meskipun sudah tiga bulan sejak insiden kemalangan itu berlaku, namun kata Rozalina, sehingga kini dia dimaklumkan bahawa suspek yang melanggar lari suaminya masih belum dapat dikesan.
Justeru, dia berharap mana-mana saksi yang mengetahui kejadian tersebut tampil bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din melawat Mohd Fairus di rumahnya di Sendayan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Bukit Nenas, berhampiran Taman Rimbun Indah di sini sekitar jam 7.55 pagi.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Siasatan awal mendapati, apabila mangsa tiba di lokasi kejadian, motosikalnya hilang kawalan selepas dihimpit dan bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan.
Akibatnya, motosikal mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kiri, manakala kenderaan terbabit dikatakan terus melarikan diri.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami patah tulang rusuk serta cedera di bahagian bahu dan kepala.
Ringkasan AI
- Anggota polis terlibat dalam kemalangan langgar lari, menyebabkan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang
- Sejak kemalangan tiga bulan lalu, Mohd Fairus hanya terbaring kaku di rumah tanpa suara
- Mohd Fairus menjalani lima kali pembedahan di kepala untuk mengeluarkan air semasa di hospital
- Doktor menyatakan sukar untuk Mohd Fairus pulih sepenuhnya akibat cedera teruk di kepala
- Suspek kemalangan yang melanggar lari Mohd Fairus masih belum dapat dikesan selepas tiga bulan insiden berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

