Lelaki cuba lari selepas mahkamah kekal hukuman berjaya ditahan polis

KOTA BHARU - Polis berjaya menahan semula pesalah dadah yang melarikan diri selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan tidak lama selepas kejadian.
“Selepas rayuannya bersabit kesalahan pemilikan dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, ditolak, hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan dikekalkan.
“Kira-kira jam 11 pagi, lelaki itu diiring anggota bertugas menuju ke lokap mahkamah, tapi secara tiba-tiba dia bertindak melarikan diri bagaimanapun dapat ditangkap semula oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, pihaknya mengesan satu video dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok sehari selepas kejadian.
Mohd Rosdi menegaskan status banduan seperti dalam video tular tersebut adalah tidak benar kerana lelaki terbabit masih berstatus orang kena tuduh (OKT) yang berada dalam jaminan mahkamah.
“OKT sudah pun ditahan semula dan saya beri peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati berkongsi kandungan media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis menahan semula pesalah dadah yang melarikan diri selepas rayuan ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu
- Lelaki berusia 30-an itu ditahan tidak lama selepas melarikan diri
- Rayuannya yang bersabit pemilikan dadah ditolak dan hukuman penjara 24 bulan serta tiga sebatan dikekalkan
- Lelaki itu melarikan diri ketika diiring menuju ke lokap mahkamah tetapi dapat ditangkap semula
- Pihak polis menegaskan status lelaki dalam video yang tular di TikTok sebagai banduan adalah tidak benar kerana masih berstatus orang kena tuduh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

