Sikap tidak sabar, 48 pemandu disiasat guna lorong kecemasan

Antara kenderaan dikesan guna lorong kecemasan bagi potong barisan ketika trafik sesak pada musim cuti persekolahan minggu lalu. Gambar kecil: Hanif Yusabra
Antara kenderaan dikesan guna lorong kecemasan bagi potong barisan ketika trafik sesak pada musim cuti persekolahan minggu lalu. Gambar kecil: Hanif Yusabra
A
A
A

SEREMBAN – Sikap tidak sabar dan mahu cepat dikenal pasti sebagai antara punca segelintir pengguna jalan raya menyalahgunakan lorong kecemasan bagi mengelak kesesakan lalu lintas, khususnya pada musim cuti sekolah minggu lalu.

Perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan selama dua hari di lebuh raya utama sekitar negeri ini, khususnya di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, walaupun kebanyakan pengguna jalan raya sedar bahawa lorong tersebut dikhaskan untuk kenderaan kecemasan dan situasi kritikal, masih ramai yang bertindak melanggar peraturan.

“Antara faktor penyalahgunaan lorong kecemasan ini adalah disebabkan sikap segelintir pengguna sendiri yang tidak sabar dan cuba memotong ketika trafik sesak, walaupun mereka tahu ia merupakan satu kesalahan.

“Ada juga yang tidak faham bahawa lorong ini hanya untuk kegunaan kenderaan kecemasan seperti ambulans, bomba, polis atau bagi kenderaan yang rosak,” katanya pada Isnin.

Tambah beliau, tindakan itu bukan sahaja menyusahkan pasukan penyelamat, malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain seperti penunggang motosikal dan kenderaan rosak yang berada di lorong berkenaan.

“Risiko pelanggaran adalah tinggi. Apa yang lebih membimbangkan, tindakan ini boleh melambatkan ketibaan kenderaan kecemasan ke lokasi kritikal dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan maut.

“JPJ ingin menegaskan bahawa penggunaan lorong kecemasan tanpa sebab munasabah merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.

Ujar beliau, dalam operasi selama dua hari itu, JPJ berjaya merekodkan sebanyak 48 kesalahan, membabitkan 22 Notis P22 dan 26 Notis 114 (Temu Siasat).

Artikel Berkaitan:

“JPJ akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang ini, selain mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!