Syor wajibkan kenderaan berat guna lorong khas!

Negara yang progresif tidak sekadar membina jalan, tetapi merancang laluan mengikut keperluan dan keselamatan pengguna.
Negara yang progresif tidak sekadar membina jalan, tetapi merancang laluan mengikut keperluan dan keselamatan pengguna.
A
A
A

KEPERLUAN mewujudkan lorong khas bagi kenderaan berat di lebuh raya negara ini semakin mendesak.

Fenomena kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam mendominasi lorong paling kanan bukan lagi kes terpencil.

Kebimbangan yang disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli adalah cerminan nyata bahawa isu ini tidak boleh lagi dipandang enteng.

Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 800 tindakan penguatkuasaan telah diambil dan sehingga April tahun ini, 220 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan berat atas kesalahan sama.

Realitinya, keberadaan kenderaan berat di lorong kanan bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik, malah meningkatkan risiko kemalangan.

Lorong paling kanan direka untuk kenderaan memotong dengan selamat, bukan untuk dilenjan berjam-jam oleh treler dan bas ekspres.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi contoh melalui pembinaan lorong khas motosikal di lebuh raya tertentu.

Maka, tidak keterlaluan jika pendekatan sama difikirkan untuk kenderaan berat khususnya di lebuh raya utama negara.

Lorong khas ini bukan sekadar mekanisme penyelesaian jangka panjang untuk masalah kesesakan dan keselamatan jalan raya, tetapi juga satu langkah berani ke arah pengurusan trafik yang lebih sistematik dan tersusun.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pembinaan lorong khas ini memerlukan kos tinggi dan perancangan rapi, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan. Statistik penguatkuasaan JPJ sendiri cukup untuk membuka mata semua pihak.

Kita tidak mahu menunggu sehingga tragedi besar berlaku barulah tindakan diambil.

Sebagai contoh, terdapat beberapa tragedi berdarah yang berlaku di lebuh raya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan berat yang mengakibatkan korban nyawa yang ramai.

Kejadian seperti ini bukan sahaja menyentuh hati rakyat, malah mengajak kita semua untuk menilai semula aspek keselamatan jalan raya yang membabitkan semua pihak.

Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan juga harus segera mempertimbangkan cadangan ini secara serius dan menyeluruh.

Negara yang progresif tidak sekadar membina jalan, tetapi merancang laluan mengikut keperluan dan keselamatan pengguna. Masa untuk bertindak adalah sekarang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!