Pemuda maut motosikal rempuh treler rosak di lorong kecemasan

ALOR GAJAH - Seorang pemuda maut maut selepas motosikal yang ditunggangi melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 205.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu mangsa, Muhammad Shahrul Shazwan Rozlan, 22, dari Ledang, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai tukang angkat buah sawit dan menunggang motosikal Yamaha Y125ZR dipercayai dalam perjalanan dari arah selatan menuju utara.
"Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berat itu berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.
"Namun setiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori tersebut.
"Akibat rempuhan itu mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Jelas beliau, pemandu dan kelindan treler, masing-masing berusia 26 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan mendapati kedua-duanya negatif dadah.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
"Manakala kedua-dua kenderaan dibawa ke Puspakom Rembia bagi pemeriksaan lanjut," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Seorang pemuda maut selepas motosikalnya melanggar treler yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan
- Mangsa, Muhammad Shahrul Shazwan Rozlan berumur 22 tahun dari Ledang, Johor
- Mangsa bekerja sebagai tukang angkat buah sawit dan menunggang motosikal Yamaha Y125ZR
- Kenderaan berat itu berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

